Realtime website trackingweb stats

Pengguna lebuh raya nikmati tol percuma pada 23, 26 Disember, rupanya ada sebab tarikh itu dipilih

Oleh FATIN AQILAH

Pengguna lebuh raya berpeluang untuk menikmati tol percuma pada 23, 26 Disember sempena perayaan Hari Krismas ini

Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari itu bagi semua jenis kenderaan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Pemberian tol percuma ini diharap dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga, menyambut Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga bersempena dengan cuti sekolah.

“Langkah ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, pemberian tol percuma bersempena dengan perayaan Krismas itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Disember.

“Tol percuma ini bukan diberi oleh pihak konsesi, (tetapi) diberi oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Ahmad berkata, pemberian tol percuma membabitkan kos RM40 juta selama dua hari dengan anggaran 2.1 juta kenderaan berada di lebuh raya pada cuti perayaan Krismas.

Bagi 2023, beliau berkata, pengecualian tol yang diberikan pada sambutan perayaan sebelum ini membabitkan kos RM206.19 juta.

Jelasnya, jumlah tersebut tidak termasuk pengecualian tol selama dua hari bersempena dengan Krismas.

Beliau berkata, pemilihan tarikh 23 dan 26 Disember iaitu pada Sabtu dan Selasa bagi tol percuma bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

Ahmad berkata, pemilihan dua tarikh itu juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang membabitkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.

Beliau turut berharap agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan.

Pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya, katanya.

Baca:

Mudahnya warga asing buat duit di Malaysia, boleh pula pemuda Pakistan menyamar jadi doktor

Kubu bawah tanah dah mula dijual, bilionaire dunia ini lupa kubur dalam tanah itu pasti

‘Nak dapatkan RM100 pun payah’ – Peniaga ini tak faham warung sunyi, jual murah pun tak laku