KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kadar pengangguran paling rendah dalam tempoh 11 tahun, selain mencatat peningkatan purata pendapatan isi rumah dan pengurangan kadar kemiskinan tegar sepanjang tahun lalu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berkata, pencapaian itu berdasarkan data awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan ekonomi negara terus berkembang secara positif.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, beliau memaklumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku keempat 2025, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
Menurut Akmal, dapatan Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 turut menunjukkan purata pendapatan isi rumah meningkat 3.8 peratus, daripada RM8,479 pada 2022 kepada RM9,155 pada 2024.
Pada masa sama, kadar kemiskinan mutlak berjaya dikurangkan kepada 5.1 peratus berbanding 6.2 peratus dalam tempoh dua tahun tersebut.
Beliau menjelaskan, prestasi ekonomi itu dipacu oleh gabungan pertumbuhan yang mampan, inflasi yang terkawal, pasaran buruh yang stabil serta peningkatan pendapatan dan pampasan pekerja, di samping pengurangan tekanan kos sara hidup.
“Kesemua faktor ini selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.
Akmal menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut), yang meminta penjelasan berhubung tahap pelaksanaan reformasi ekonomi kerajaan, khususnya dalam menghadapi isu inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Beliau turut merujuk laporan Kementerian Kewangan pada Oktober lalu yang menyifatkan kadar inflasi negara sebagai relatif stabil, sekitar dua hingga tiga peratus, walaupun terdapat pelaksanaan kenaikan gaji minimum.
Menurut laporan itu, analisis kementerian mendapati peningkatan gaji minimum dan kuasa beli isi rumah tidak memberi tekanan inflasi yang berlebihan, dengan gaji minimum ditetapkan pada RM1,700 menerusi Belanjawan 2025.
Selain itu, Belanjawan 2026 yang akan menjadi belanjawan pertama di bawah RMK13 dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju ekonomi jangka sederhana negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam jawapannya, Akmal turut menegaskan kejayaan dasar gaji minimum serta keberkesanan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang bermula sejak tahun lalu.
Bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, beliau berkata kerajaan melaksanakan pendekatan serampang dua mata, iaitu memperkukuh keterjaminan makanan bagi mengekang kenaikan harga serta meningkatkan pendapatan melalui penambahbaikan bantuan dan subsidi.
Antara inisiatif dilaksanakan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 yang mula dikreditkan kepada penerima secara berperingkat bermula 20 Januari lalu, serta bantuan Sara sehingga RM200 yang disalurkan melalui MyKad seawal 9 Januari.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut menegaskan kerajaan akan meneruskan reformasi struktur menerusi RMK13 dengan pendekatan ‘menaikkan siling’ bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan ‘menaikkan lantai’ untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Langkah itu merangkumi penstrukturan semula ekonomi berasaskan penciptaan nilai, reformasi pasaran buruh, pendidikan dan perumahan, selain usaha khusus menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan.
“Keseluruhan pendekatan ini bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan, inklusif serta berdaya saing,” katanya.