Realtime website trackingweb stats

PdPR yang gagal – keluhan guru

Oleh ADINDA

SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN

PDPR : BERKESAN ATAU TIDAK?

Kita semua perlu akui bahawa sejak wabak Covid-19 melanda negara, banyak sistem-sistem yang telah kita amalkan sejak berkurun lama terpaksa ditinggalkan. Tanpa ketinggalan, sistem pendidikan negara juga terpaksa diubah secara langsung apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19. PKP yang memaksa semua individu berkurung dirumah dalam tempoh masa tertentu merencatkan proses pendidikan yang memerlukan murid dan guru bertemu secara bersemuka.

Lantas berbulan-bulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencari formula yang sesuai untuk mengubah struktur pendidikan mengikut kaedah semasa. Akhirnya setelah begitu lama murid dan guru terkapai-kapai mencari pautan yang kukuh untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), akhirnya KPM mengumumkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). PdPR yang diumumkan mempunyai ciri-ciri seperti kaedah komunikasi guru dan murid secara ‘One-Line’, ‘Off-Line’ dan ‘Off-Site’.

Kita harus akui bahawa PdPR telah dilaksanakan untuk tahun yang kedua dan pastinya ia kekal berpanjangan sehinggalah negara mencapai kadar kes yang membolehkan fasa 3 Pelan Pemulian Negara dikuatkuasakan. Jangkaanya adalah pada bulan september 2021. Ini bermaksud, murid-murid ini akan lebih banyak menjalani proses pendidikan secara PdPR berbanding bersemuka. Pastinya sedikit sebanyak ia mempengaruhi prestasi akademik murid-murid.

Tambahan lagi semua calon SPM 2021, merupakan kohort pertama yang mengikuti pembelajaran secara PdPR sepenuhnya pada waktu pandemik. Daripada tahun 2020 hingga 2021, calon SPM lebih banyak menjalani proses pendidikan secara PdPR berbanding bersemuka. Lebih menyulitkan, calon SPM tahun 2021, merupakan generasi perintis sukatan pelajaran yang baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pastinya situasi ini mencabar buat murid dan guru menghadapinya.

Seramai 9,411 Calon Perolehi Keputusan Cemerlang SPM 2020 – KPM

Namun persoalannya, adakah PdPR mencapai keberkesanan yang maksimum buat semua murid dan guru yang menyertainya? Jika diperhatikan dalam media sosial mahupun media massa terkait isu PdPR, banyak kekurangan yang dibongkar satu persatu seterusnya melondehkan kecelaruan PdPR. Hasil kajian Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, kehadiran murid dalam PdPR tidak mencapai 80%. Jumlah kehadiran yang masih rendah membuktikan bahawa PdPR bukanlah satu kaedah yang diminati dan berupaya untuk disertai oleh murid-murid.

Beberapa elemen yang menjadi punca PdPR tidak berkesan untuk dilaksanakan. Pertamanya, kelengkapan untuk menyertai PdPR seperti data yang tidak mecukupi mahupun ketiadaan peranti menyebabkan PdPR tidak berkesan buat murid-murid. Umum mengetahui, kaedah PdPR menggunakan aplikasi Google Meet dan lain-lain dalam tempoh masa yang panjang memerlukan data yang mencukupi serta kemudahan peranti yang baik. Beberapa hari yang lalu, media melaporkan beberapa kanak-kanak terpaksa membawa segala peranti ketepi jalan raya agar mereka dapat menyertai PdPR memandangkan di rumah, taliannya tidak sekuat sehingga menggagalkan mereka menyertai PdPR.

Beberapa guru pula menyatakan bahawa, ramai ibubapa yang telah memaklumkan pada guru kelas masing-masing yang anak mereka tidak boleh menyertai PdPR akibat kekurangan wang untuk membeli data jalur lebar mahupun peranti yang digunakan sudah pun rosak. Dalam tempoh PdPR dilaksanakan masuk tahun kedua, kedudukan kewangan golongan M40 dan B40 tidak mampu menampung kos PdPR. Selain itu, penggunaan peranti secara berpanjangan menyebabkan peranti sudah mula rosak untuk digunakan. Kegagalan menyediakan kelangkapan PdPR telah menjadi pentujuk yang jelas PdPR kurang berkesan untuk dilaksanakan.

 11 guru bimbing murid Orang Asli PdPR di 13 kampung pedalaman

Faktor kedua, adalah motivasi murid untuk menyertai PdPR berada pada tahap yang lebih rendah. Hal ini kerana, proses PdPR telah dilaksanakan dalam tempoh masa yang panjang. Hari-hari murid perlu duduk di depan peranti, mengadap guru secara dalam talian dalam suasana sekitar yang tidak mendorong mereka belajar menyebabkan motivasi mereka jadi lebih rendah. Bukan semua murid mempunyai bilik belajar masing-masing, ada yang terpaksa belajar di ruang tamu yang menyebabkan fokus mereka terganggu. Akhirnya mereka tidak faham apa yang diajarkan kepada mereka.

Bukankah itu tidak berkesan? Selain itu, jika beban ini diletakkan kepada guru yang tidak kreatif, ia tidak adil sama sekali, kerana kita memahami, kaedah PdPR mempunyai had nya tersendiri menyebabkan kreativiti guru juga terhad. Berapa banyak idea baru terpaksa dijana oleh guru-guru agar PdPR lebih menarik? Sampai masa ia tepu juga.

Akhir sekali, peranan ibubapa menjadi faktor penentu kehadiran murid dalam PdPR. Ibubapa menjadi pendorong utama murid kembali belajar dalam era pandemik ini. Sebaliknya, negara yang terheret kepada pelaksanaan PKP 3.0 menyebabkan pendapatan ibubapa terjejas. Hal ini menyebabkan ibubapa lebih memberi tumpuan untuk mencari pendapatan berbanding memastikan anak-anak mereka belajar. Kesempitan hidup yang dilalui sekarang telah meninggalkan dorongan untuk ibubapa memantau anak mereka secara maksima.

Ibu bapa bergelut dengan tekanan kerja dari rumah dalam masa yang sama terpaksa memantau PdPR anak-anak

Faktor-faktor itu telah menyebabkan keberkesanan PdPR dipersoalkan. Dalam tempoh yang lama, PdPR semakin gagal memahamkan murid-murid. Akhirnya, ia telah melahirkan sebuah generasi keciciran pendidikan dalam tempoh yang panjang. Kesannya, negara akan menuju kepada kemunduran tamadun.