Realtime website trackingweb stats

Nyaris hilang kerja buat selamanya selepas 4 tahun tak datang sekolah, rupanya ini punca guru fobia tahap teruk naik bot

Oleh ADINDA

Nyaris hilang kerja buat selamanya selepas 4 tahun tak datang sekolah, rupanya ini punca guru fobia tahap teruk naik bot. Akibat fobia terhadap air kerana hampir lemas ketika kanak-kanak, seorang guru di Gerik, Perak, yang gagal melapor diri untuk bertugas selama 1,535 hari kerana terpaksa menaiki bot ke sekolah, ditamatkan perkhidmatannya.

Guru terbabit, Yahaya Wahi, 44, hanya kembali mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar, Gerik selepas menemui jalan darat ke sekolah berkenaan empat tahun kemudian.

Beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Taiping untuk membatalkan pemecatannya dan dilantik semula sebagai guru di mana-mana sekolah lain yang boleh dilalui melalui laluan darat.

Mahkamah Tinggi Taiping hari ini, membenarkan permohonan semakan kehakiman Yahaya dan mengembalikan jawatannya yang sudah berkhidmat dalam profesion perguruan selama 18 tahun.

Hakim K Muniandy (kini Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) yang membuat keputusan itu, berkata Yahaya yang didiagnosis dengan fobia tertentu di bawah persekitaran semula jadi iaitu mental dan gangguan tingkah laku serta perkembangan saraf, tidak memalsukan keadaannya, malah disokong bukti perubatan berterusan dan konsisten.

Menurut penghakiman semakan kehakiman itu, keadaan Yahaya ditambah lagi apabila abangnya mati lemas, yang mana beliau turut berada dekat tempat kejadian.

Katanya, Yahaya mengemukakan tiga laporan perubatan termasuk daripada hospital kerajaan mengenai keadaannya, bagaimanapun responden tidak mengambil sebarang langkah untuk mengakui atau menafikan bukti perubatan terbabit.

Kesemua responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak; Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Kementerian Pendidikan Malaysia; dan Kerajaan Malaysia.

“Oleh kerana keadaan kesihatannya adalah teras kepada kes ini, ia hanya menunjukkan, mereka tidak mempunyai asas untuk memecatnya daripada perkhidmatan perguruan.

“Di pihak sekolah, pengetua menulis surat kepada responden pertama untuk memberitahu dia mula mengajar semula mulai 16 Mei 2017 dan menyatakan pemohon menggunakan laluan pembalakan untuk pergi bekerja tetapi langsung tidak diendahkan oleh responden, sebaliknya ditamatkan perkhidmatan.

“Sepucuk surat yang ditulis oleh rakan guru, iaitu saksi turut menyatakan Yahaya sememangnya ketakutan kerana mukanya pucat dan muntah beberapa kali dalam perjalanan ke sekolah menaiki bot, dan perkara itu juga tidak ditimbangkan oleh responden,” katanya.

Hakim itu berkata, proses yang adil tidak dilakukan responden apabila mereka membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Yahaya daripada perkhidmatan perguruan, walaupun ia hanya disebabkan oleh alasan perubatan yang teruk.

Beliau berkata, Yahaya tidak dimaklumkan mengenai haknya untuk merayu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib dan tiada alasan dikemukakan responden atas kegagalannya berbuat demikian, oleh itu keputusan menamatkan perkhidmatannya adakah tidak sah.

Sehubungan itu, mahkamah mengeluarkan perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan responden yang menamatkan perkhidmatan Yahaya dan mengembalikan jawatan berkenaan kepadanya.

Yahaya menerima pertukaran ke SK RPS Kemar pada 16 Disember 2012 dan bersedia untuk berkhidmat di sekolah yang terletak di pedalaman Gerik itu, kerana mahu berdekatan dengan isterinya dan ibu yang sudah tua di Kelantan.

Bagaimanapun, guru Sains dan Matematik itu gagal melaporkan diri di sekolah pada tarikh tersebut, hanya hadir bertugas pada 3 April 2013 kerana mendapati dia terpaksa ke sekolah dengan bot menyeberangi tasik.

Beliau menerima rawatan perubatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani dan dirujuk ke jabatan psikiatri pada 2015.

Dia tidak mengajar di sekolah berkenaan sehingga menemui laluan darat ke sekolah itu, iaitu jalan pembalakan pada 16 Mei 2017.

Yahaya menyatakan keadaan kesihatannya kepada pengetua apabila beliau memulakan tindakan tatatertib terhadapnya pada 2019 dan dalam empat tahun ketidakhadirannya, cuba membincangkan kesnya dengan pihak berkuasa dan meminta pemindahan lain, tetapi tidak dilayan.

Yahaya diberhentikan daripada perkhidmatan pada 9 Ogos 2019, dan semua emolumennya dihentikan mulai 6 Ogos 2019.

Baca:

Akhirnya ‘barkoba’ terima hadiah kereta mahal, netizen tumpang gembira

Selepas tujuh bulan maut ditembak, tengkorak milik jasad wanita ini dicuri pengamal sihir

Banyak hadapi masalah sebelum jadi Muslim, imam ceritakan kisah hijrah penyanyi terkenal 1990-an ini