Realtime website trackingweb stats

Nelayan selamatkan buaya, beri makan hingga jadi kawan baik tapi isterinya pula jadi ‘mangsa’

Oleh ADINDA

Seorang nelayan Gilberto Shedden yang dikenali sebagai Chito mencipta sejarah berkawan baik dengan buaya selama 22 tahun.

Mulanya Chito menemui Pocho yang tercedera dengan kesan tembakan dan hampir mati pada tahun 1989.

Chito kemudiannya membawa balik Pocho ke rumah untuk dirawat.

Selama enam bulan, Chito merawat dan menjaganya sehingga sihat serta memberi makan Pocho ayam dan ikan seberat 31 kilogram setiap minggu.

Nelayan selamatkan buaya, beri makan hingga jadi kawan baik tapi isterinya pula jadi 'mangsa'

Chito bahkan memandikan, dan tidur bersama Pocho.

Siang hari, dia akan menyembunyikan Pocho di dalam kolam di bawah beberapa pokok berdekatan, dan malamnya dia menyeludup buaya tu ke dalam rumahnya sendiri.

Dia terus merawat haiwan yang tercedera itu secara sembunyi-sembunyi hingga dia menerima permit untuk secara sah memiliki dan menjaga Pocho.

Namun, isteri pertama Pocho mula rasa tidak selesa dengan kehadiran Pocho lantas meninggalkan Chito gara-gara terlalu banyak menghabiskan masa dengan Pocho.

Chito tidak terlalu peduli kerana menganggap isteri lain boleh dicari tetapi Pocho adalah satu dalam sejuta. Benarlah katanya, Chito kemudiannya menemui isteri baru.

Selepas Pocho cukup sihat untuk dikembalikan ke alam semulajadinya, Chito cuba melepaskannya di sungai berhampiran rumahnya.

Mengejutkan Chito bercampur gembira apabila keesokan harinya, rakannya yang bersisik itu tidur di luar rumahnya.

Pocho nampaknya telah “membuat keputusan” untuk kekal bersama rakan manusianya.

Chito kemudiannya mula membuat persembahan dengan reptilia itu untuk orang ramai.

“Setelah buaya mengikuti saya pulang, dan datang kepada saya setiap kali saya memanggil namanya, saya tahu ia boleh dilatih,” kata Chito.

Setiap hari Ahad, selama lebih dua dekad, Chito dengan hanya sepasang seluar pendek dan bandana, akan menyelam ke dalam tasik berdekatan rumahnya.

Pocho akan berlumba-lumba ke arahnya, rahang maut terbuka luas seolah-olah dia akan menyerang.

Namun, Pocho akan menutup mulutnya sebelum menerima ciuman pada muncung daripada Chito.

Dalam persembahan mingguan itu, Chito akan mengenakan bayaran kepada penonton hanya $2.

“Dia kawan saya. Saya tidak mahu memperlakukannya seperti hamba. Saya tidak mahu mengeksploitasinya,” lapor Mirror.

Di samping pelancong, saintis terkenal dan pakar tingkah laku haiwan turut menonton persembahan Chito dan Pocho mandi dan bermain di tasik.

Sifat jinak Pocho mengundang tanda tanya. Malah, ada menganggap kemungkinan luka tembakan daripada petani yang cuba melindungi ternakannya telah menjejaskan otak Pocho dan memusnahkan naluri semula jadinya sebagai pemangsa.

Bahkan Chito pernah diingatkan bahawa walaupun selepas bertahun-tahun kelihatan jinak, buaya boleh kembali kepada sifat liarnya tanpa amaran.

Berbeza pula dengan pandangan Chito. Dia percaya pada ikatan antara dia dan kawan baik reptilianya.

“Selepas dua atau tiga tahun, sesuatu boleh berlaku, mungkin… tetapi selepas 22 tahun menyayangi antara satu sama lain, tiada apa yang pernah berlaku, jadi saya tidak fikir begitu,” kata Chito.

Akhirnya, pada 12 Oktober 2011, Pocho menutup mata buat selama-lamanya secara semula jadi pada usia yang dikenal pasti mencecah 60 tahun.

Sepanjang hayatnya, Pocho tidak pernah sekali pun menyakiti Chito.

Dia menjalani hari-hari terakhirnya sebagai sahabat dan teman setia kepada Chito.

Baca:

Pulut bakar juadah berbuka hanya perlukan 6 bahan ini, bau semerbak sudah bukan rahsia lagi

Petua simpan tauhu supaya tahan lebih lama dalam peti ais

6 sebab tetap gemuk walaupun berpuasa dan panduan mengatasinya