Nak baca buku di dataran merdeka? kena minta izin DBKL dulu

Oleh ABDULLAH HAMID

Nak baca buku di dataran merdeka? kena minta izin DBKL dulu. Walaupun niatnya baik dan penuh ilmu, setiap aktiviti termasuk perhimpunan dan program ilmiah di Dataran Merdeka perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlebih dahulu.

Ini susulan dakwaan kononnya pihak berkuasa ‘mengganggu’ program santai Diskusi dan Buku Jalanan yang berlangsung di lokasi ikonik itu baru-baru ini. Namun menurut DBKL, permohonan bukanlah untuk menyekat aktiviti bermanfaat, sebaliknya bagi memastikan peraturan seperti kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam terus dipelihara.

“DBKL amat mengalu-alukan usaha anak muda dan masyarakat yang mahu menganjurkan program ilmu, bacaan dan seni jalanan yang boleh mencambah minda dan membentuk masyarakat celik ilmu.

Nak baca buku di dataran merdeka? kena minta izin DBKL dulu

“Namun, penganjur perlulah terlebih dahulu berhubung dengan pihak kami untuk mendapatkan panduan dan kelulusan yang sesuai, agar tidak timbul salah faham dan program dapat dijalankan dengan lancar,” jelas DBKL dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut DBKL, permohonan awal juga penting untuk memberi makluman kepada petugas di lapangan, agar mereka tahu apa yang sedang berlangsung ketika pemantauan rutin dijalankan dan tidak keliru.

“Dataran Merdeka adalah kawasan bersejarah dan ikonik, kerap menjadi tumpuan pelancong serta lokasi bagi acara rasmi. Maka, sebarang penggunaan ruang awam di sini tertakluk kepada peraturan di bawah bidang kuasa DBKL.”

Bukan itu sahaja, DBKL turut mengingatkan bahawa aktiviti yang melibatkan perhimpunan awam juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis, seperti yang termaktub dalam Seksyen 63 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Insiden yang mencetuskan perdebatan ini berlaku pada Sabtu lalu, apabila Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia mendakwa aktiviti diskusi buku mereka diganggu oleh anggota polis dan penguat kuasa DBKL.

Majlis yang berlangsung secara santai itu didatangi 8 hingga 10 orang penguat kuasa, termasuk tiga anggota DBKL berpakaian seragam dan selebihnya berpakaian biasa. Mereka kemudian dikatakan diarahkan bersurai selepas diminta mengesahkan sama ada surat makluman telah dihantar kepada Ketua Polis Daerah.

Kumpulan tersebut berpendapat, membaca buku, berbincang secara damai dan menggunakan ruang awam untuk aktiviti ilmiah tidak seharusnya dianggap sebagai kesalahan. Mereka berharap akan ada ruang lebih terbuka untuk aktiviti seumpama itu tanpa halangan yang tidak wajar.

BACA JUGA :

Gempar peniaga ala Bombay dah ada di KL, rupanya Jumaat dia buat kerja, ini reaksi pihak DBKL

Netizen tergamam tengok DBKL sita Food truck halang laluan ramai

‘Jangan hukum tanpa fakta’ DBKL sekolahkan netizen tuduh ‘zalim’ isu roboh gerai ikan singgang