KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan bagi memperluas liputan dan meningkatkan manfaat kepada golongan layak, seiring pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penyaluran bantuan itu bermula Jumaat ini.
Menurut kenyataan MOF, penyertaan kedai runcit kecil dalam ekosistem SARA akan diperluas secara berperingkat, dengan sasaran mencecah 10,000 premis menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 kedai yang terlibat setakat penghujung 2025, bagi melengkapkan rangkaian pasar raya sedia ada.
Penyaluran SARA Bulanan bagi tahun 2026 akan dimulakan Jumaat ini, melibatkan seramai lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan. Pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pula dijadualkan bermula pada 16 Januari 2026.
MOF memaklumkan, penerima akan menerima kredit bulanan antara RM50 hingga RM200 bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
Secara keseluruhan, program SARA Bulanan tahun ini merangkumi 8.1 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.
MOF turut memaklumkan kadar penggunaan bantuan SARA Bulanan tahun lalu hampir mencapai 100 peratus, termasuk di kawasan luar bandar, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program tersebut.
Sebelum ini, Anwar dalam Amanat Tahun Baharu memaklumkan bantuan SARA kepada golongan miskin tegar akan dikreditkan bermula Jumaat ini, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu sehingga RM500 akan disalurkan pada 20 Januari.
Beliau turut mengumumkan pemberian SARA bernilai RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas yang layak, yang akan dikreditkan pada 9 Februari ini sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan inisiatif SARA untuk Semua yang diperkenalkan pada 31 Ogos lalu memberi manfaat secara sekali bayar kepada 22 juta warganegara.
Program berkenaan merekodkan kadar penggunaan sebanyak 96 peratus atau melibatkan 21.2 juta penerima, dengan jumlah perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.
MOF memaklumkan baki dana SARA untuk Semua yang tidak digunakan pada 2025, dianggarkan sekitar RM150 juta, akan diagihkan semula bagi menyokong keperluan golongan rentan.
Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk bantuan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, sokongan kepada pelajar kurang upaya dan berkeperluan khas, pembelian peranti perubatan serta pelaksanaan inisiatif Dapur SISWA.
Selain itu, penyaluran STR Fasa Satu 2026 yang bermula pada 20 Januari melibatkan peruntukan RM1.1 bilion kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan.