Istimewanya negara kita kerana mempunyai sejumlah flora dan fauna yang tidak terdapat di mana-mana di dunia atau dipanggil spesies endemik.
Beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides dengan berwajah merah jambu terang hanya boleh dijumpai di Perlis.
Primat pemalu itu boleh dilihat bebas di kawasan tumpuan pelancong, Wang Kelian View Point yang terletak di sempadan Thailand.
Malah, terdapat papan peringatan lintasan beruk kentoi di Wang Kelian. Jadi, perlahankanlah kenderaan anda terutamanya waktu tengah hari kerana waktu itulah haiwan primat unik ini keluar mencari makanan.
Dari segi perubahan wajahnya, beruk kentoi dari merah boleh jadi gelap kepada coklat atau hampir hitam apabila semakin tua dan terdedah kepada cahaya matahari.
Uniknya lagi, sama seperti orang lelaki, beruk kentoi pun mengalami keguguran rambut hingga menjadi separa botak apabila usianya semakin meningkat.
Proses botak itu pula dialami oleh beruk kentoi jantan dan betina bermula di dahi dan seterusnya merebak ke arah tengah kepala.
Anak-anak beruk kentoi dilahirkan dengan bulu berwarna putih atau kuning, dan menjadi lebih gelap apabila membesar.
Betina dewasa pula berwarna lebih cerah berbanding jantan dewasa yang lebih gelap warnanya.
Menarik juga, beruk kentoi banyak menghabiskan masa di atas tanah tidak seperti spesies primat lain yang berada di atas pokok.
Dilaporkan terdapat lebih 200 ekor beruk kentoi di sekitar Wang Kelian di Taman Negeri Perlis dan juga hutan di Banjaran Nakawan.
Jangan terkejut kerana beruk kentoi sudah disahkan tiada di Thailand walaupun berkongsi sempadan geografi.
Disebabkan ciri unik haiwan berekor pendek itu, beruk kentoi pernah dicadangkan supaya dipilih sebagai maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Baca:
Mondy Tatto dakwa diraba dan hampir dicium ustaz, dah jadi kes polis pulak