Realtime website trackingweb stats

Menjejak maqam ulama, sejarah yang tenggelam tidak dicatat

Oleh ADINDA

Muhaimin Sulam

Menjejaki Maqam Ulama

Gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah pepatah orang Melayu dalam menyatakan soal sejarah. Di sekitar bandar Melaka banyak kubur-kubur lama yang terbiar tanpa maklumat yang jelas kepada orang awam. Sejarah mereka tenggelam dan tidak dicatat.

Pada masa dahulu, setiap menjelang bulan Maulid sempena hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dan hari Jumaat, ramai orang membuat kenduri dan disedekah makanan tersebut kepada orang awam lain. Mereka melakukan kerana untuk membayar niat yang dihajati. Amalan tersebut kini dilarang kerana dikuatiri berlaku amalan syirik apabila mereka menyembelih binatang bukan atas niat yang betul.

Disamping itu juga, terdapat amalan khurafat seperti meminta sesuatu daripada maqam-maqam tersebut. Hal ini bukan sahaja dilakukan oleh bukan orang Muslim tetapi ada juga orang Islam yang berbuat demikian.

Amalan itu disebabkan kefahaman agama yang mengelirukan sesetengah masyarakat atau kelompok terhadap aqidah. Pemujaan dan kekaguman yang melampau terhadap karismatik seseorang ulama menyebabkan keyakinan diri hilang.

Maqam Datuk Manila

Maqam Datuk Manila terletak di Lorong Datuk Manila iaitu sebuah penempatan yang didiami kebanyakannya oleh kaum Tionghua. Terdapat deretan rumah moden dan juga rumah kayu berhampiran dengan kawasan maqam Datuk Manila. Lorong masuk ke maqam ini agak tersorok di jalan besar Tengkera ke Tangga Batu.

Datuk Manila berasal dari kepulauan Sulu yang pernah menjadi pusat pentadbiran kesultanan Sulu sebelum penaklukan Sepanyol. Sepanyol menjadikan bandar Manila di pulau Luzon sebagai pusat pentabdiran mereka. Di bahagian selatan Filifina terutama di pulau Mindanao, Palawan dan Sulu, Sepanyol berhadapan tentangan hebat dari masyarakat tempatan. Dasar pemaksaan memeluk agama Kristian yang diamalkan oleh Sepanyol menekan masyarakat Islam. Ini menyebabkan sebahagiannya telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kampong halaman untuk mencari tempat baru bagi memulakan penghidupan yang lebih aman.

Datuk Manila menjadikan Melaka sebagai tempat penghidupan baru beliau semasa Melaka berada di bawah pemerintahan Portugis. Di Melaka, Datuk Manila mengajar agama dan sangat dihormati oleh masyarakat tempatan termasuk bukan Islam.

Maqam Nek Haji Yusuf

Nek Haji Yusuf adalah seorang saudagar pakaian daripada Yamen yang meninggal dunia pada abad ke 19. Beliau seorang yang kuat beragama dan maqamnya dianggap sebagai salah satu tempat keramat. Sebelum ini, maqam Nek Haji Yusuf menjadi tempat kegiatan khurafat sehinggalah pihak berkuasa menyekat amalan-amalan tersebut dilakukan.

Biasanya amalan khurafat ini dilakukan dengan acara-acara keagamaan seperti maulid iaitu sambutan hari keputeraan nabi Muhammad S.A.W. Biasanya mereka membuat kenduri dan doa selamat.

Maqam terletak dalam sebuah binaan kubah bercat putih dan diperbuat daripada batu. Terdapat sebuah pintu dan tiga tingkap yang dikunci. Di sekeliling binaan tersebut terdapat kubur-kubur lain. Ia terletak bersebelahan dengan warung Mee Bodo Tengkera yang terkenal dikalangan pengemar makanan di Melaka.

Maqam Syarifah Embun

Salah sebuah maqam keramat di Melaka ialah maqam Tok Gambon yang terletak di Lorong SK Duis Awab, Klebang Kechil, Kampong Limbongan. Di tanah perkuburan Tok Gambon terdapat maqam Datok Abang Abdul Ghafur Bin Abdul Qahar, seorang pemimpin Melayu Sarawak yang menentang James Brooke.

Tok Gambon adalah nama seorang wanita alim dan terkenal suatu ketika dahulu di Melaka yang bernama Syarifah Embun. Maqamnya sering dikunjungi orang ramai termasuk kalangan bukan Islam kerana menganggap beliau seorang yang memiliki kekeramatan. Seperti maqam keramat lain juga, maqam Tok Gambon berada dalam binaan bercat kuning yang berkunci.

Maqam Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghaffor

Maqam kelima adalah milik pembesar Sarawak tetapi hidup dalam buangan semasa pemerintahan keluarga Brooke. Dari golongan Melayu kelas atasan di Sarawak, Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghaffor menyesuaikan kehidupan barunya. Beliau akhirnya dijodohkan dengan Nyonya binti Kasim oleh sebuah keluarga yang prihatin tentang kebajikan Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghaffor.

Beliau hanya tinggal di masjid dan melakukan kerja-kerja pembersihan di masjid. Beliau juga menjadi imam di masjid tersebut. Bagi menyara kehidupannya, beliau melakukan kerja-kerja kampong bagi mendapatkan upah selain mengajar al Quran kepada anak-anak penduduk kampong Limbongan.

Maqam Tuan Haji Dak

Maqam itu terletak di tepi jalan Tengkera ke Tangga Batu dan bersebelahan pinggir pantai yang ditambak. Tanah Perkuburan Kampong Limbongan mempunyai lebih tiga ratus pusara. Salah satunya adalah maqam milik Tuan Haji Dak.

Bagi mengenang jasa Tuan Haji Dak, sebuah binaan batu dibina oleh tauke Cina terkenal bernama Chua Cheng Tuan dan Chua Cheng Bok pada 1910. Mereka adalah anak seorang pendatang Fujian yang menjual buah pala di Melaka. Chua Cheng Bok adalah pengasas pawagam pertama di Malaya iaitu Coliseum yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Keluarga Chua terhutang budi dengan Tuan Haji Dak yang membantu mereka hingga menjalani kehidupan yang sangat berjaya. Chua lima bersaudara menubuhkan Federal Stores, sebelum menubuhkan Cycle and Carriage di Kuala Lumpur pada 1899. Perniagaan Syarikat Cycle and Carriage sangat berjaya sehinggalah menjadi syarikat pengedar syarikat kenderaan Mercedes Benz dan barangan lain.

Maqam Pulau Keramat

Maqam keenam terletak di Pulau Keramat berdekatan dengan pantai Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. Sekiranya air pasang, kawasan tersebut akan menjadi sebuah pulau. Sebaliknya sewaktu air surut, untuk sampai ke pulau itu hanya dengan berjalan kaki sahaja.

Pulau ini dikenali sebagai Pulau Keramat kerana terdapat beberapa maqam yang tidak dikenal pasti tetapi sentiasa menjadi tumpuan orang untuk datang. Sumber tempatan mengatakan bahawa kubur-kubur tersebut adalah mangsa zaman perang Jepun dan sesetengah mengatakan ia adalah kubur pendatang asal kawasan berhampiran.

Sebahagian maqam hilang kerana dihakis oleh ombak laut. Tiada sebarang papan tanda mengenai kubur-kubur tersebut.

Maqam Imam Habib Idros

Maqam ini terletak di Tengkera adalah milik seorang ulama yang bernama Imam al Habib Idros bin Alwi bin Abdullah bin Alwi al Habsyi. Mengikut papan kenyataan yang ada di situ, beliau berasal dari Hadramaut yang meninggal dunia pada 1870. Beliau datang ke Melaka bersama saudaranya Habib Hussein yang meninggal dunia di Surabaya. Beliau di Melaka sewaktu Habib Nuh bin Muhamad al Habsyi tinggal di Singapura.

Adalah dipercayai beliau adalah seorang ulama Syiah yang mempunyai peranan dakwah di sekitar Melaka pada masa tersebut. Syiah mempunyai tradisi ziarah kubur ulama mereka yang sangat kuat. Oleh sebab itu, maqam ini dijaga dengan baik.

Maqam Keluarga Nakhoda Nan Intan

Berdekatan dengan maqam Habibi Idros terdapat sebuah kawasan maqam yang diasingkan dengan pagar batu setinggi dua kaki dan dawai di atasnya. Kawasan ini merupakan maqam kerabat al marhum Haji Muhammad Salleh ataupun yang dikenali dengan nama Nakhoda Nan Intan bin Tuanku Patis Nan Sabatang. Beliau berasal dari Pagaruyung, Sumatera merupakan pengasas Masjid Jame’ Batu Uban yang merupakan peneroka awal di Pulau Pinang pada 1710. Maqamnya terletak di Masjid Batu Uban.

Di maqam kerabat Nakhoda Nan Intan terdapat maqam anak lelakinya yang bernama Haji Tambi atau Haji Muhammad Nuruddin bin Haji Muhammad Salleh. Beliau mewakaf tanahnya untuk dijadikan Masjid Tengkera yang ada pada hari ini.

Kemudian, cucu Nakhoda Nan Intan yang bernama Sheikh Haji Abdul Lathif al Malakawi at Tankirrawai bin Haji Tambi dikebumi di sini. Syeikh Abdul Lathif Tambi adalah seorang ulama yang mengarang kitab bagi tujuan pengajian agama. Beliau mempunyai perniagaan pencetakan kitab dan berdakwah hingga ke Singapura, Surabaya, Medan, Bandung dan sebagainya.

Maqam Habib Omar

Maqam ini terletak di kaki Bukit China dan dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan maqam Panglima Pidie dari Acheh yang terkorban dalam perang melawan Belanda. Beliau juga dikatakan mempunyai hubungan dengan ulama terkenal Habib Noh di Singapura. Sebuah bangunan batu didirikan di maqam tersebut. Tidak banyak maklumat yang diperolehi tetapi disekitar maqamnya terdapat maqam-maqam yang nesannya menggunakan batu lada merah yang berusia ratusan tahun.

Maqam Wali Allah

Makam ini adalah makam Wali Allah yang bernama Sayyid Abdullah Al-Haddad, seorang guru agama yang terkenal. Maqamnya terletak di bahagian luar mihrab masjid Kampong Hulu dan dipagar batu dan besi. Terdapat ratusan kubur-kubur lama yang kebanyakan tiada maklumat pada batu nesan. Kebiasaannya selepas solat Jumaat, ada beberapa orang datang membaca al Quran di hadapan maqam tersebut.

Semoga pemilik maqam-maqam yang berkenaan dicucuri rohnya dengan rahmat Allah SWT atas sumbangan dan peranan mereka dalam dakwah Islam khususnya di Nusantara. Semoga Allah SWT mengampuni dosa dan kesalahan yang mereka lalukan dan ditempatkan ke dalam syurga.

 

Dr. Muhaimin Sulam seorang sejarawan dan budayawan yang banyak menghasilkan karya penulisan satira dan menerbitkan rancangan Melaka 5 Minit yang menampilkan penjelajahan beliau menjejak sejarah Melaka yang tidak didendangkan.