LAPORAN KHAS: Rumah Ibadat Tidak Sah- Ketegasan Anwar Akhirnya Leraikan ‘Masalah Lama’

Oleh Ahmad Fahmi

Isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah, khususnya kuil, bukanlah bara yang baru dinyalakan. Ia adalah api dalam sekam yang telah lama berasap, merentas beberapa pentadbiran dan kerap kali hanya disentuh secara ad hoc apabila tercetus polemik setempat. Hakikat ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa dasar berkaitan pematuhan undang-undang terhadap rumah ibadat sudah berterusan sejak era Barisan Nasional, disusuli Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, dan kini diteruskan di bawah Kerajaan MADANI.

Namun yang membezakan episod mutakhir ini ialah kejelasan pendirian dan political will untuk menggerakkan pelaksanaan. Pengumuman bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan untuk bertindak terhadap rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah adalah mesej tegas bahawa negara ini kekal sebagai negara hukum. Prinsipnya mudah tetapi sering disalah tafsir: kebebasan beragama dijamin, tetapi ia tidak pernah mengatasi undang-undang tanah, perancangan bandar dan hak milik.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semua rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil adalah tertakluk kepada peraturan yang sama. Tidak timbul soal pilih kasih atau diskriminasi. Batu Caves, misalnya, dirujuk sebagai contoh rumah ibadat yang sah, mendapat kelulusan, dan tidak menceroboh hak sesiapa. Cadangan pembinaan eskalator di situ dinilai atas asas peraturan dan kemudahan penganut, bukan sentimen politik. Dalam masa yang sama, percambahan binaan di tanah awam atau persendirian tanpa kebenaran tidak boleh dibiarkan atas nama toleransi yang longgar.

Lebih penting, pendekatan yang digariskan bukan bersifat menghukum secara membuta tuli. Perdana Menteri sendiri mengingatkan agar masa dan ruang diberikan, serta rundingan diadakan. Tetapi ketegasan tetap ada hadnya: pelanggaran yang berlarutan tanpa penyelesaian tidak boleh dinormalisasikan. Di sinilah keseimbangan antara empati dan penguatkuasaan diuji.

Di Selangor, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama (LIMAS) telah lama mempunyai mekanisme tersusun untuk menangani isu ini. Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa tindakan meroboh atau melupus rumah ibadat tidak teratur bukan perkara baharu, malah puluhan tindakan telah direkodkan sejak 2015. Pengumuman Perdana Menteri, menurut beliau, akan mempercepat dan memperkemas pelaksanaan sedia ada. Ini menunjukkan bahawa ketetapan di peringkat Persekutuan tidak berdiri dalam vakum, tetapi disokong struktur pentadbiran negeri.

Lebih signifikan ialah sokongan terbuka Sultan Selangor. Dalam kenyataan rasmi, baginda menzahirkan sokongan terhadap pendirian tegas menghentikan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah demi memelihara keharmonian dan keselamatan masyarakat majmuk. Baginda turut mengingatkan bahawa pembinaan tanpa kebenaran, termasuk pencerobohan tanah kerajaan atau persendirian, berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut agama dan mengancam keamanan. Statistik yang didedahkan mengenai jumlah kuil tanpa kebenaran di Selangor menegaskan bahawa isu ini bersifat struktural dan memerlukan penyelesaian tuntas, bukan retorik bermusim.

Sokongan daripada Mahima, pertubuhan Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia, juga memperlihatkan dimensi yang lebih matang dalam wacana ini. Presidennya, Datuk N. Sivakumar, melihat langkah kerajaan sebagai usaha menyusun semula dan “menyelamatkan” kuil, bukannya menekan penganut. Cadangan mewujudkan pangkalan data lengkap rumah ibadat Hindu dan penubuhan unit khas bagi penyelarasan menunjukkan bahawa penyelesaian memerlukan data, dialog dan tadbir urus yang baik – bukan sekadar slogan.

Dalam konteks politik, tidak dapat dielakkan ada pihak yang cuba membingkai ketegasan ini sebagai tindakan ekstrem atau tergesa-gesa. Malah berlaku kekeliruan istilah apabila keizinan PBT untuk “bertindak” disamakan dengan arahan “perobohan” menyeluruh. Reaksi balas daripada aktivis seperti Firdaus Wong pula menyorot persoalan keikhlasan sesetengah tokoh politik yang hanya bersuara setelah pendirian tegas diumumkan dan disokong istana. Polemik sebegini memperlihatkan bagaimana isu undang-undang boleh dimanipulasi menjadi naratif perkauman atau agama jika tidak ditangani dengan cermat.

Tetapi inti perbahasan ini tidak harus tersasar. Soalnya bukan tentang meminggirkan mana-mana agama. Soalnya ialah sama ada negara harus membenarkan pembinaan di atas tanah yang bukan hak, atau di luar kerangka perancangan sah, atas alasan sensitiviti. Jika jawapannya ya, maka kita sedang membuka pintu kepada anarki berlesen. Jika jawapannya tidak, maka penguatkuasaan yang adil dan berperlembagaan adalah satu kemestian.

Kerajaan MADANI kini berada pada titik penting: sama ada meneruskan tradisi “biar dahulu, tangani kemudian” atau berani merungkai simpulan lama dengan pendekatan berhemah tetapi tegas. Dengan sokongan Sultan Selangor dan kerjasama pertubuhan agama seperti Mahima, ruang penyelesaian lebih terbuka berbanding sebelumnya.

Akhirnya, keharmonian tidak lahir daripada pembiaran pelanggaran undang-undang, tetapi daripada keyakinan bahawa hukum ditegakkan secara adil kepada semua. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, keadilan prosedural termasuk telus, konsisten dan tidak memihak, adalah benteng sebenar perpaduan. Ketegasan yang berlandaskan undang-undang, jika dilaksanakan dengan hikmah, bukan ancaman kepada kebebasan beragama, sebaliknya jaminan bahawa kebebasan itu dilindungi dalam kerangka yang sah dan lestari.