Pelawak tersohor, Lan Pet Pet berhijrah ke Madinah tahun hadapan bersama keluarga dan berhasrat mahu meninggal dunia di sana.
Memetik laporan dari Berita Harian, ahli kumpulan Senario tersebut menyatakan sepatutnya dia dan keluarga berpindah pada tahun ini
Namun menghormati perminataan balu kepada Allahyarham Hamdan yang mahu dia terus bersama kumpulan lawak berkenaan.
“Ikutkan saya ke Madinah tahun ini, tetapi isteri arwah Hamdan, Norhamalini Ahmed minta
saya terus bersama Senario bagi menjaga ukhuwah dan silaturahim kami,” ujarnya.
Susulan daripada itu, niat Lan Pet Pet berhijrah ke Madinah ditangguhkan sementara dan akan membuat pemantauan terlebih dahulu ketika umrah yang akan mereka kerjakan pada minggu hadapan.
Menurutnya, dia akan kerap berulang alik ke Malaysia walaupun sudah menetap di sana kelak.
“Jadi, saya tangguhkan perancangan ini, insya-Allah saya dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah bersama keluarga minggu depan dan kami akan ‘riki’ apa yang patut di sana.
“Cita-cita sejak kecil memang nak tinggal berhampiran dengan Rasulullah. Saya tanya isteri adakah bersedia dikebumikan di Madinah jika umur tak panjang?
“Bila isteri kata setuju, saya tak mahu tangguhkan lagi. Insya-Allah, ada rezeki saya akan bawa isteri dan anak-anak berhijrah ke sana. Bagaimanapun, kami akan kerap berulang-alik,” katanya .
Pemilik nama sebenar Mazlan Ahmad ini juga menyatakan yang dia akan menguruskan hotel milik Al Maliki Group dan sudah pun mendapatkan visa bagi bekerja serta tinggal di sana
Namun begitu, dia sama sekali tidak meninggalkan kerjaya bersama Senario di Malaysia apabila bersedia berulang alik Madinah-Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, kerjaya bersama Senario akan tetap berjalan seperti biasa, kalau ada undangan saya akan balik ke sini.
“Saya sudah penat buat ulasan makanan dan restoran kerana terpaksa berlari ke sana-sini.
“Di usia sekarang apa lagi yang ingin saya kejar? Saya hanya ingin dekatkan diri dengan Allah dan Rasul. Saya bersyukur dipertemukan dengan orang betul,” katanya.
Sekadar info, Lan Pet Pet telah mendirikan rumah tangga dengan adik kepada aktres terkenal Rozita Che Wan iaitu, Rubytah Che Wan pada 2008.
Baru-baru ini, kumpulan Senario yang dianggotai olehnya telah dinobatkan sebagai Artis Komedi Popular menerusi Anugerah Bintang Paling Popular 36.
BACA: Ini sebab kenapa cat rumah warna hijau jenis ini digelar miskin