Realtime website trackingweb stats

Lain rupanya maksud ‘menarik rambut dalam tepung’, ini 10 peribahasa Melayu jati buat bakal jenazah

Oleh ARIF ABDULLAH

Lazim yang kita faham ungkapan “seperti menarik rambut dalam tepung” bermaksud menyelesaikan masalah tanpa merugikan mana-mana pihak tetapi rupanya lain maksud peribahasa itu dalam kefahaman orang Melayu kira-kira 100 tahun lalu.

Maksud sebenar peribahasa itu ada terkandung dalam buku “Tikaman Bahasa” susunan Muhammad Adnan Muhammad Ariffin yang terbit kali pertama pada tahun 1934 di Kota Bharu, Kelantan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya menerbitkannya semula pada 1992 tanpa mengubah kandungan dan gaya bahasa yang digunakan.

Jadi, apa maksud “seperti menarik rambut di dalam tepung” yang merupakan antara lebih 2,200 peribahasa susunan bekas Guru Besar Sekolah Inggeris al-Madrasah al-Muhammadiah itu?

Maksudnya, dengan memetik ayat asal, “Bagaimana sekalipun kesenangan mati itu tetapi terlalu sakit ketika nyawa akan bercerai daripada badan.”

Fuh! Mendalam sungguh maksud peribahasa itu.

Tidak hairanlah, Cikgu Muhammad Adnan menegaskan himpunan peribahasa yang diusahakannya itu merupakan peribahasa asli Melayu sebagai tindak balas kepada penerbitan “Kiliran Budi” susunan W.G. Shellabear (1907).

Malah, beliau dalam bahagian “Pengenalan Pengecap” berkata perumpamaan atau bidalan yang terhimpun dalam bukunya itu “ialah yang terlebih sah dan fasih susunan Melayu jati”.

Ada 2,249 peribahasa kesemuanya yang dipecahkan kepada 11 bab. Banyak peribahasa itu sudah jarang atau mungkin tidak pernah lagi generasi sekarang dengar.

Berikut 10 peribahasa buat kita selaku “bakal jenazah” dalam bab ketujuh buku yang memuatkan peribahasa Melayu jati ini di bawah tajuk, “Kehidupan dalam Kesenangan dan Kesusahan”:

1. Seperti menarik rambut di dalam tepung

Bagaimana sekalipun kesenangan mati itu tetapi terlalu sakit ketika nyawa akan bercerai daripada badan.

2. Mana tali berpunca tak berhujung

Siapakah hidup tiada akan mati.

3. Pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak

Hendaklah orang-orang muda mengambil insaf tatkala orang yang tua daripadanya itu mati.

4. Bunga pun gugur, putik pun gugur, tua pun gugur, masak pun gugur

Tiap-tiap yang hidup itu akan mati juga menurut masa keadaan mautnya, tiadalah boleh ditentukan pada masa tua sahaja.

5. Patah tumbuh hilang berganti

Baka yang turun-temurun itu tidak akan putus.

6. Berapa tinggi terbang bangau itu kemudian hinggap ia ke belakang kerbau juga

Berapa lama hidup seorang itu akhirnya mati juga.

7. Hangus tiada berapi, karam tiada berair

Peri kesusahan orang yang kematian.

8. Di mana api padam di sanalah puntung tercampak, di mana periuk pecah di situlah tembikar tinggal

Barang di mana tempat seorang itu mati di dalam negeri itulah dikuburkan, demikianlah hal orang kebanyakan atau orang dagang yang miskin atau lemah.

9. Tarik puntung padamlah bara

Berkuasa itu sementara lagi hidup bila telah mati hilanglah daya upaya.

10. Sirih naik junjungnya patah

Seorang yang baharu hendak beroleh kesenangan ia pun mati.

Baca:

‘Nasib kau lah Wahab’ – Sampai Mami Mas Idayu pun pandai troll nama ‘Wahab’

Konsert Coldplay: “Jangan nak batal macam tu je, semua melibatkan duit”- Ramli MS

Dah makin serius, ada orang nak culik anak Nabila Huda