Realtime website trackingweb stats

Lagu nurse viral punya pasal, sampai ada tukar cita-cita, ini proses jika nak jadi nurse lepas SPM

Oleh SHAZLIN AZIZ

Artikel ini merupakan perkongsian dari seorang jururawat senior yang menceritakan laluan untuk menjadi seorang jururawat selepas habis SPM.

Selain itu, beliau turut berkongsi realiti sebenar kehidupan sebagai seorang jururawat yang sangat jauh berbeza dengan apa yang kita lihat dalam drama.

Ikuti kisah dan perkongsian beliau:

‘Kakbel, boleh ke kalau saya nak jadi Nurse lepas habis SPM?’

Ada yang pm tanya soalan begini pada saya.

Mari dik, dialu-alukan sangat. Mari jadi penyambung generasi jururawat yang boleh terus memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Tapi, anda kena tahu yang;

1. Jadi jururawat ni bukan macam drama ikut doktor jalan sambil pegang fail.

Jadi jururawat ni wayyy different dari apa yang ditontonkan dalam drama. Waktu datang kes-kes kecemasan, nak duduk pun tak dapat, nak minum pun jangan harap. Takde drama kenyit mata kat doktor hensem atau kat waris yang boleh buat ovari meletup atau tulang rusuk bergegar. Nehi!

2. Jadi jururawat ni bukan takat cuci najis seperti netizen cakap.

Jadi jururawat ni tugasnya holistik dan menyeluruh. Kitalah jururawat, kita juga tukang paip, kita pun kaunter pertanyaan, kita pun guru, kita juga kaunselor dan kita juga kaunter aduan. Dari punch in sampai punch out, ada je kerja nak buat bukan setakat duduk kaunter layan tiktok atau belek buku Avon.

3. Jadi jururawat ni takat sijil je.

Jadi jururawat ni, bukan takat sijil je. Ada hierarki pendidikan dalam kejururawatan ;

– Sijil Jururawat Masyarakat; belajar 2 tahun setengah, jadi Jururawat Masyarakat (JM) yang kat tudung/cap ada garis ungu.

– Diploma Kejururawatan ; belajar 3 tahun, jadi Jururawat Terlatih/Staff Nurse (JT/SN) yang kat tudung/cap/bahu (bagi jururawat lelaki) ada, garis warna biru.

– Sijil Pengkhususan/Diploma Lanjutan/Post Basic; belajar 6bulan-1 tahun untuk speciality tertentu dari unit kita bertugas contoh, Diploma Lanjutan Perbidanan, Sijil Pengkhususan PeriAnaesthesia, Diploma Lanjutan Kecemasan dan Trauma, Sijil Pengkhususan Orthopaedik dan banyak lagi.

– Kursus Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL); belajar setahun untuk jadi jururawat terlatih. Ni terbuka untuk JM yang dah cukup syarat servis.

– Ijazah Kejururawatan; Belajar 4 tahun untuk dapat ijazah. Kalau naik pangkat, gred 41, tapi ada je yang ada ijazah masih kekal U29 sebab belum ada tawaran kenaikan pangkat.

– Sarjana Kejururawatan atau Sarjana berkaitan. Ni bergantung jenis sarjana yang kita ambil tidak kira sepenuh masa atau separuh masa.

– PhD Kejururawatan atau PhD berkaitan.

4. Jadi jururawat banyak cuti, boleh kesana kesini perabis gaji.

Jadi jururawat ni jangan mimpi nak cuti hujung minggu, jangan mimpi nak cuti raya setiap tahun, nak cuti waktu hari kelepasan am tidak kira kerja hospital atau kerja klinik. Jadi, sebelum nikah nanti pastikan pasangan faham bukannya buat muka bila pasangan kena kerja hujung minggu, bila pasangan kena kerja pada hari raya, bila pasangan kena kerja pada hari kelepasan am. Hospital tak tutup dik.

5. Jadi jururawat senang pakai cable.

Tak kira pakai cable kelajuan kilat pun, bukan cable boleh tolong jawab exam dari Semester 1 Diploma hingga Semester 6. Bukan juga cable tolong jawab soalan exam dari Lembaga Jururawat Malaysia yang bagi lesen untuk kita jadi Jururawat. Lesen ni kena renew setiap tahun sama macam lesen kereta.

6. Jadi jururawat boleh pilih nak kerja dalam kawasan kampung halaman.

Jadi jururawat kena bersedia untuk bertugas tidak kira mana pun dihantar. Nanti dah cukup tempoh servis, mohonlah bertukar walaupun kena beratur tunggu giliran. Masa ni lah kita nak belajar budaya dan bahasa baru.

Jadi, sebelum jadi jururawat, kena bersedia segala segi. Jadi jururawat ni akan buka minda dan buka mata kita betapa kecilnya pengetahuan kita tentang kehidupan. Dan kita akan belajar erti kehidupan, erti menghargai sesiap saat yang ada bila kita lihat segala kesakitan, kehilangan dan keperitan pesakit kita.

.

Macam mana nak jadi jururawat?

1. Boleh mohon di SPA9 (https://spa9.spa.gov.my/login) dibawah Latihan Separa Perubatan dan pilih Latihan Jururawat kat sana. Sekarang ni, bila mohon kat SPA dia dah letak kelayakan kerja/jawatan berdasarkan sijil atau kelayakan akademik kita.

2. Boleh mohon dimana-mana IPTA/IPTS yang tawarkan jurusan kejururawatan dengan/tanpa tajaan atau perlu buat pinjaman PTPTN.

3. Boleh mohon di mana-mana universiti yang ada hospital/hospital pengajar seperti PPUM, UiTM, PPUKM, UPM, USM, dan UIAM.

** Setiap ipt ada kelayakan untuk kemasukan yang berbeza. Kena rajin layari portal dia.

#BelNawhen
Diploma Kejururawatan, KKM (2008-2010)
Ijazah Sains Kejururawatan dengan Kepujian, MAHSA University (2016-2019)
Sarjana Penguatkuasaan Undang-undang, UiTM Shah Alam ( Feb 2020 – sekarang)
Next?

Baca:

Mentega kacang tak susah rupanya buat di rumah, belanja pun jimat, ini resepinya

Dah la premium, harga Proton S70 lagi murah dari Honda City dan Vios

“Sampai bila nak kecam, saya takkan duk diam” – Ali Puteh