Kes naya, penumpang pesawat terkandas gara-gara penguatkuasa airport rosakkan passport. Pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Filipina, telah melaksanakan dasar baharu yang melarang anggota keselamatannya daripada menyentuh pasport penumpang ketika melakukan pemeriksaan di pintu masuk terminal.
Menurut laporan Gulf News, keputusan ini dibuat susulan peningkatan aduan daripada penumpang mengenai pasport yang rosak atau terkoyak selepas diperiksa – situasi yang dikenali oleh rakyat tempatan sebagai isu “punit pasport”, dan sering menjadi punca kebimbangan dalam kalangan pelancong.
“Bagi melindungi dokumen perjalanan anda serta mengurangkan sentuhan fizikal yang tidak perlu, semua anggota keselamatan NAIA diarahkan supaya tidak menyentuh pasport ketika pemeriksaan masuk ke terminal.
Penumpang hanya perlu menunjukkan pasport atau kad pengenalan sendiri dengan cara mengangkatnya untuk ditunjukkan,” jelas pengurusan NAIA dalam satu kenyataan rasmi.
Insiden Tular Cetus Tindakan Tegas
Dasar ini mula diperkenalkan selepas tular satu kejadian membabitkan seorang penumpang yang mendakwa bapanya dilarang menaiki penerbangan Cebu Pacific ke Bali, Indonesia pada 15 April lalu, hanya kerana terdapat sedikit kesan koyak pada pasportnya.
Menurut individu terbabit, kerosakan kecil itu dikesan oleh kakitangan syarikat penerbangan semasa proses daftar masuk, menyebabkan bapanya tidak dibenarkan menaiki pesawat.
Kejadian ini mencetuskan siasatan rasmi oleh Kementerian Pengangkutan Filipina (DOTr) dan Lembaga Penerbangan Awam (CAB), yang kini meneliti beberapa insiden serupa melibatkan penumpang yang ditolak hak untuk terbang akibat pasport yang dikatakan rosak.
NAIA Nafi Kecuaian Anggota Keselamatan
Dalam kenyataan lanjut, pihak pengurusan NAIA menjelaskan bahawa insiden pasport koyak itu berlaku di kaunter daftar masuk Terminal 3 dan bukannya berpunca daripada anggota keselamatan lapangan terbang.
“Tiada laporan menunjukkan berlakunya kecuaian atau salah laku oleh pihak keselamatan NAIA,” kata mereka.
Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, pengurusan lapangan terbang tetap mengambil pendekatan proaktif untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat penerbangan, DOTr dan juga Biro Imigresen (BI) bagi memperketat prosedur pemeriksaan dan memastikan keselamatan serta keselesaan penumpang terus terjamin.”
Fokus Pada Perlindungan Penumpang & Dokumen Perjalanan
Tindakan tegas ini bukan sekadar bertujuan menjaga integriti dokumen perjalanan seperti pasport, malah sebagai usaha mengurangkan interaksi fizikal yang tidak perlu – sekaligus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan kepada semua pengguna lapangan terbang.
Langkah ini turut mendapat sokongan ramai yang melihatnya sebagai satu pendekatan moden dan mesra penumpang dalam menghadapi cabaran keselamatan dan birokrasi semasa melancong.
BACA JUGA :
jatuh satu anak tangga, Passport Malaysia sedia akses bebas visa
Tak sabar nak kahwin? Wanita ini ajar cara borang kahwin cepat diproses ramai nak tahu