PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa asas kekuatan Kerajaan Perpaduan terletak pada semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara parti-parti komponen, tanpa budaya angkuh atau mementingkan diri, dalam usaha memacu pembangunan negara demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan program, termasuk memberi tumpuan serius kepada pembangunan generasi muda dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), selari dengan pembinaan nilai akidah dan akhlak yang kukuh.
“Usaha ini perlu digerakkan dengan lebih bersungguh-sungguh. Jika kita konsisten, dalam tempoh satu atau dua tahun sahaja, wajah Malaysia akan berubah dengan ketara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Madani Bersama Diaspora Malaysia di Ankara, Turki, pada Selasa, yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di negara itu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Sazali Mustafa Kamal.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Ankara, pada jam 7.13 malam waktu tempatan (12.13 tengah malam waktu Malaysia), bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Turki sehingga 8 Januari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan bahawa sejarah membuktikan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, bangsa dan tamadun sangat bergantung kepada kekuatan nilai, keyakinan serta komitmen bersama dalam membina negara.
Menurut beliau, kemerosotan sesebuah negara lazimnya bermula apabila rasuah dibiarkan berakar umbi dan isu kemiskinan dipinggirkan, sekali gus menghakis nilai moral serta perpaduan sosial.
Merujuk prinsip Islam, Anwar berkata manusia diberi pilihan yang jelas sama ada berusaha mencapai kebaikan dan kecemerlangan atau membiarkan keruntuhan nilai berlaku.
“Komitmen kita mesti berteraskan pilihan untuk menjadi baik dan melakukan yang terbaik, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat,” katanya.