Kerajaan menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan penggunaan lafaz dan istilah Islam, termasuk kalimah seperti Alhamdulillah dan syukur, perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama yang sah dan diiktiraf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pandangan Jabatan Mufti yang berpaksikan al-Quran, Sunnah serta pandangan ulama muktabar menjadi asas utama dalam menentukan pendirian kerajaan berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, pendekatan berhikmah amat penting dalam menangani isu agama, lebih-lebih lagi dalam suasana semasa yang menyaksikan terlalu banyak pandangan dilontarkan sehingga berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan memilih untuk mendapatkan nasihat daripada pihak yang mempunyai kelayakan, kepakaran dan autoriti sah dalam bidang agama Islam, termasuk Jabatan Mufti.
Dr Zulkifli berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai program MAIWP Run 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan isu penggunaan lafaz Alhamdulillah dan syukur yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Ahli Parlimen Pas itu sebelum ini mendakwa penggunaan lafaz yang sinonim dengan umat Islam oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, boleh mengelirukan masyarakat bukan Islam serta disifatkan seolah-olah mempermainkan kesucian agama Islam.
Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil sebelum ini dilaporkan menjelaskan bahawa penggunaan lafaz seperti Alhamdulillah oleh individu bukan Islam tanpa niat menghina atau memperlekehkan agama adalah dibenarkan menurut pandangan ulama dan tidak menjejaskan sensitiviti mahupun akidah.