MACAM SAMA TAPI BERBEZA, PASIF TAPI BAHAYA
Comel dan berguna semasa kecil, namun dibuang merata apabila dirasakan menjadi beban.
Itu adalah perkara biasa yang berlaku pada ikan bandaraya.
Kah! Cerita ikan rupanya.
Ikan yang berasal daripada Amerika Selatan ini, dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan industri ikan hiasan. Mempunyai peminat yang tersendiri, ikan ini sering dibela di dalam akuarium sebagai pencuci kotoran. Namun begitu, ikan ini cepat membesar dan akhirnya akan menyebabkan perebutan makanan dengan spesis lain yang ada di dalam akuarium.
Tahukah anda?
Ikan bandaraya ini dikategorikan sebagai spesis invasif yang boleh membawa seribu satu kemusnahan di dalam kawasan yang diduduki. Antara spesis ikan bandaraya yang boleh dijumpai di sungai-sungai Semenanjung Malaysia adalah spesis Pterygoplichthys pardalis dan Pterygoplichthys disjunctivus. Spesis ini telah dijumpai memonopoli beberapa sungai besar.
Spesis P. pardalis telah ditemui di Sungai Pusu Gombak, Sungai Langat Selangor, Sungai Perak dan Sungai Muar, Negeri Sembilan. Namun begitu, P. disjunctivus telah direkodkan dijumpai di Sungai Kampar, Perak dan Sungai Pahang.
Eh, macam mana nak beza dua spesis ni?
Perbezaan spesis di dalam genus Pterygoplichthys ini dibezakan melalui jalur corak dibahagian bawah badan. Haaaaaaa, bila jumpa Pterygoplichthys ni, terbalikkan badan dia untuk tengok corak di bawah badan.
Bagi P. pardalis, corak belakang badan ada seakan-akan jalur atau bintik yang tidak bersambung, dan bagi P. disjunctivus dibezakan melalui jalur corak yang seakan-akan bersambung atau dalam bahasa inggerisnya kita panggil “vermiculations”.
Ini cara paling asas atau mudah untuk membezakan dua spesis di dalam jenis ini. Walau bagaimanapun, kajian penuh dengan menggunakan kaedah genetik dan penelitian ciri taksonomi perlu dijalankan dengan teliti sekiranya ingin membezakan kedua-dua spesis.
Ok, berbalik kepada kesan ikan bandaraya
Ikan bandaraya nampak pasif. Di dalam akuarium, ikan ini sering bersembunyi di bawah kayu dan di sebalik batu.
Ya, pasif. Tapi, AWAS! Spesis ini mampu untuk memberi impak negatif yang sangat besar dalam ekosistem. Di dalam akuarium, ikan ini mampu membesar dengan jayanya. Ianya akan menyebabkan perebutan makanan dan menyerang ikan-ikan lain yang tercedera didalam akuarium. Apabila perkara ini terjadi, kebanyakan ikan ini kemudiannya, dibuang ke dalam sungai, tasik dan lombong.
Apa kesannya?
Ikan bandaraya ini mempunyai daya tahan hidup yang tinggi dan mampu hidup di dalam sungai yang mempunyai kualiti air yang rendah.
Kelebihan ini menjadikan ianya mampu memonopoli sesebuah kawasan. Maka, berlakulah perebutan makanan dan kawasan sekaligus mengganggu rantaian makanan dan ekosistem kawasan tersebut. Natijahnya, kepelbagaian spesis ikan di kawasan tersebut terganggu dan menurun.
Selain itu, sifat ikan ini yang sering mengorek pasir sungai dan tanah, akan menyumbang kepada kekeruhan air di kawasan tersebut.
Cuba kita bayangkan, sekiranya perkara ini tidak dikawal, semua sungai-sungai yang ada berpotensi untuk dimonopoli oleh si bandaraya yang pasif tapi berbahaya. Kalau sekarang, kita gembira kerana masih berpeluang untuk berenang bersama kelah dan tengas di sungai-sungai kita.
Namun, esok lusa mungkin kita hanya berenang bersama ikan bandaraya di sungai-sungai keruh dan berbau. Renung-renungkan.
Sumber : Facebook Ini Sains Beb