Realtime website trackingweb stats

Ini punca wujudnya gerakan Tabligh di Malaysia ramai tak tahu

Oleh SHAZLIN AZIZ

Kalau Kristian ada mubaligh Kristian atau misi Kristian yang menyebarkan agama Kristian melalui kerja-kerja amal seperti pendidikan dan hospital, maka gerakan mubaligh Islam juga mempunyai tujuan yang sama.

Gerakan Tabligh, misalnya, bertujuan untuk mengajak manusia kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh.

Tabligh sendiri bermaksud ‘menyampaikan pesanan’, atau ‘menyampaikan pesanan Islam kepada masyarakat’.

Gerakan ini diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi, seorang ulama besar dari India yang lahir dalam keluarga ulama dan berasal dari Mewat, sebuah wilayah di India

Idea untuk mengabdikan hidupnya kepada dakwah Islam mula timbul semasa Maulana Ilyas mengerjakan ibadah Haji pada tahun 1926.

Ini punca wujudnya gerakan Tabligh di Malaysia ramai tak tahu

Pada masa itu, kebanyakan umat Islam di India sama ada mengagungkan cara hidup British atau mencampur adukkan amalan Hindu walaupun beragama Islam. Major Powlett, seorang pegawai penempatan di negeri Alwar, India, pernah menulis tentang keadaan suku Meo di Mewat sebelum kedatangan Maulana Ilyas:

“Orang Meo semuanya Islam, tetapi hanya pada nama. Mereka menyambut hari kebesaran Hindu bersama dengan hari kebesaran Islam. Ketika berkahwin, upacara perkahwinan dilakukan oleh Brahmin Hindu, manakala majlis akad nikah dilaksanakan oleh Kadi. Sangat sedikit yang melaksanakan solat di kalangan mereka. Masjid-masjid juga jarang kelihatan. H

anya terdapat 8 buah masjid dalam 50 buah kampung. Mereka benar-benar jahil terhadap agama mereka…” – Major Powlett, dipetik dari Travellers in Faith: Studies of the Tablīghī Jamāʻat as a Transnational

Dari situ, Maulana Ilyas merasakan seruan untuk menarik manusia kepada jalan Allah S.W.T dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad pada permulaan dakwah Islam, iaitu berjumpa manusia dari pintu ke pintu dan dari hati ke hati. Beliau melaungkan, “Aye Musalmano! Musalman bano” yang bermaksud, “Wahai umat Muslim! Jadilah muslim yang kaffah (menunaikan semua rukun dan syari’ah seperti yang disuruh Rasulullah).”

Dari situlah lahirnya Tablighi Jamaat, atau Jemaah Tabligh, yang mula berkembang sekitar akhir 1920-an sebagai sebuah gerakan dakwah yang dikatakan kesinambungan dan penerus kerja dakwah Rasulullah S.A.W serta para sahabat.

Sekembalinya Maulana Ilyas ke Mewat, beliau bersama anak-anak muridnya melakukan dakwah dari rumah ke rumah dengan lemah lembut dan akhlak yang baik, seperti yang dilakukan Rasulullah. Kesungguhan dan keikhlasan hati Maulana Ilyas memberi kesan yang mendalam kepada penduduk Mewat. Semakin ramai yang mendekati Islam, masjid-masjid semakin dipenuhi, dan anak-anak mula dihantar ke madrasah. Maulana Ilyas kemudian mengutuskan jemaah dakwah dari Mewat ke daerah-daerah dan negeri-negeri lain di India, dan gerakan ini berkembang ke seluruh pelusuk dunia.

Dalam tempoh hampir 20 tahun, gerakan Tabligh berjaya tersebar di seluruh Asia Selatan. Di bawah pimpinan Maulana Yusuf, anak Maulana Ilyas, gerakan ini mula mengembangkan kegiatannya pada tahun 1946. Dalam jangka masa tersebut, penyebarannya telah sampai ke Asia Barat Daya, Asia Tenggara, Afrika, Eropah, dan Amerika Utara.

Setiap pembentukan jemaah di negara lain mula meresap dalam masyarakat tempatan. Walaupun negara barat pertama yang dipengaruhi Jemaah Tabligh ialah Amerika Syarikat, fokus utama mereka adalah di Britain, khususnya kepada populasi padat orang Asia Selatan di sana yang tiba pada tahun 1960-an dan 1970-an. Manakala di Malaysia…

Penapakan Jemaah Tabligh di Malaysia Sejak 1970-an

Di Malaysia, gerakan Tabligh mula diberi perhatian oleh masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu seawal tahun 70-an dengan penyertaan mereka sebagai Jamaah Tabligh. Ini menunjukkan kedudukan Islam mula diberi perhatian secara meluas berbanding sebelumnya.

Sebelum merdeka, fahaman Islam di Tanah Melayu dicorakkan oleh pelbagai pihak termasuk pemerintah dari golongan raja dan penjajah, serta golongan agama dan pertubuhan tertentu. Walaupun orang Melayu merdeka dan memerintah negara, Islam masih dianggap dalam lingkungan sekularisme akibat pengaruh penjajahan yang mempengaruhi gaya pentadbiran aristokrat Melayu. Ini termasuk iklan arak dalam bahasa Jawi dan Melayu yang menyasarkan orang Melayu.

Disebabkan ketidakstabilan tersebut, Jamaah Tabligh datang untuk membawa pembaharuan. Ajaran Islam yang diterapkan dalam Tabligh diterima baik kerana relevan dengan kehendak Muslim di Malaysia yang menginginkan kehidupan yang mementingkan nilai beragama, bukan hanya nama semata-mata.

Salah satu sebab kejayaan gerakan ini adalah kerana Tabligh tidak memandang asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya, tetapi lebih fokus kepada mengajak umat Islam menjalani agama sebenar dalam kehidupan.

Namun, tidak mudah kerana ada juga pihak yang menentang gerakan Tabligh pada masa itu.

Usaha dakwah mereka yang dianggap berjaya menyebabkan beberapa pihak termasuk pemerintah dan masyarakat Melayu membangkitkan isu yang mencabar kredibiliti gerakan berdasarkan laporan agensi berkaitan serta liputan akhbar tempatan dengan pelbagai dakwaan.

Namun, selepas disiasat, gerakan Tabligh didapati tidak terlibat dengan penggubahan wang.

Malah, Tabligh tidak menerima sumbangan atau dana untuk aktiviti dakwah, dan ditanggung oleh mereka yang menjalankan kerja-kerja dakwah sendiri yang membiayai diri sendiri. Jemaah Tabligh kini merupakan gerakan Islam bukan politik terbesar di dunia!

BACA: Resepi Kuih Lopes Gula Melaka, tiada daun pisang pun dijamin menjadi!