Realtime website trackingweb stats

Hina kaum tak boleh dibiarkan, perlu tindakan undang-undang – Dr Akmal

Oleh ABDULLAH HAMID

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa sebarang perbuatan menghina kaum tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan tegas.

Dalam satu kenyataan di media sosial, beliau yang juga merupakan ADUN Merlimau berkata, tindakan seperti ini tidak boleh sekadar diselesaikan dengan permohonan maaf semata-mata.

“Tidak kira siapa pelakunya, tindakan undang-undang perlu dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

“Kalau tidak, budaya seperti ini – buat dulu, minta maaf kemudian – akan semakin berleluasa dan mudah terlepas!” katanya.

Insiden Notis Perkauman Penjual Jagung

Hujung minggu lalu, tular satu video di media sosial yang memperlihatkan seorang penjaja jalanan meletakkan notis berunsur perkauman di gerai jualannya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kota Warisan, Sepang, di mana penjaja tersebut meletakkan notis berbunyi:

“Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling.”

Istilah keling dianggap sebagai penghinaan terhadap masyarakat India, dan tindakan itu mencetuskan kemarahan ramai.

Rata-rata netizen mengecam perbuatan tersebut dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Peniaga Mohon Maaf, Janji Tak Ulangi Kesalahan

Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, mengesahkan bahawa peniaga yang mencetuskan kontroversi itu telah tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya masyarakat India.

Permohonan maaf itu dibuat di sebuah restoran di Sepang dan turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh media sosial, penduduk setempat, pegawai dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.

Menurut Aaron, peniaga terbabit juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.

Insiden ini menjadi peringatan bahawa isu perkauman bukan perkara remeh dan tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

BACA LAGI :

Akmal buktikan kepada KJ, UMNO bukan ‘pak turut’

Dah 2024 masih ada lagi murid tiada kelengkapan kerusi & meja belajar punca Ketua Pemuda Umno ‘mengamuk’

Bekas aktivis Umno dedah apa sebenarnya masalah PMX