Sangat menyayat hati.
Saya seorang ibu dan isteri yang berusia lebih kurang 45 tahun, seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak.
Walaupun saya berkerja dan sentiasa sibuk dengan kerjaya, saya masih menjalani kehidupan yang sangat bahagia bersama suami dan anak-anak tercinta.
Suami saya berjawatan agak tinggi dalam sebuah syarikat /perusahaan ternama, kehidupan kami suami-isteri sangat stabil dan melalui hari-hari yang gembira dengan anak-anak yang ceria membesar.
Dari kecil saya dididik dengan ilmu agama secukupnya, bapa saya seorang ustaz yang sangat tegas dalam didikannya, sehinggalah di universiti juga saya mengambil jurusan agama.
Manakala selepas menikah pula, suami saya sentiasa amanah dalam mendidik dan membimbing saya berkenaan hal-hal keagamaan.
Beliau sangat tegas berkenaan aurat, hukum halal dan haram, akidah dan sebagainya.
Berkenaan dengan suami pula, dia seorang yang sangat bertanggungjawab, baik dan penyayang.
Sejak berkahwin, dia tidak pernah mengabaikan tugasnya.
Kami jarang bergaduh dan berselisih faham.
Jika saya merajuk pun suami akan pujuk semula, tidak pernah suami saya menyakiti saya atau menyinggung perasaan saya.
Dia sangat penyabar dan suka membantu melakukan kerja-kerja rumah serta memahami saya yang turut bekerja.
Bagi saya, suami sayalah yang terbaik.
Suami saya juga seorang ‘anggota masjid’ dan gemar bermasyarakat dengan jiran-jiran setempat, disebabkan itu suami saya menjadi salah seorang ahli panitia masjid dan ketua RT di perumahan kami.
Keramahan suami saya sangat disenangi kenalan, jiran bahkan anak-anak juga sangat rapat dengannya.
Suatu hari, saya mengambil cuti kerana anak yang kurang sihat.
Hari itu juga suami tertinggal telefon tangannya di rumah.
Tergerak hati saya untuk mencapai HP suami dan membelek-belek ruangan gambar.
Gembira saya melihat gambar-gambar kami sekeluarga yang disimpan baik oleh suami.
Tidak disangka, dalam ‘folder’ yang berlainan terdapat sekeping gambar suami bersama seorang wanita lain!
Mereka bersama seorang anak lelaki yang hampir sebaya dengan anak bongsu kami dan kelihatan sangat bahagia seperti satu keluarga.
Saya terkejut, tergamam, tidak karuan lalu menangis dan hampir menjerit.
Saya menjadi geram dan dalam hati penuh kebencian terhadap wanita dalam gambar itu dan begitu marah membuak-buak terhadap suami.
Tetapi saya cuba bertahan dan bertekad untuk bertanyakan tentang gambar itu kepada suami.
Menggigil saya sewaktu menunggu suami pulang dari tempat kerjanya.
Sebaik saja suami melangkah masuk ke dalam rumah, saya terus suap dia dengan pertanyaan amarah tahap maksimum saya.
“Siapa betina tu?” tanya saya dengan penuh amarah dan tingginya suara, sambil menunjukkan gambar tersebut kepadanya.
Ketika itu saya benar-benar berang, ditambah dengan pelbagai andaian yang wanita itu ingin merampas suami saya dari saya dan anak-anak.
Memang saya takkan izinkan sama sekali.
Pada awalnya suami saya terkejut dan cuba menjelaskan sesuatu dengan baik dan lemah lembut.
Dia seperti sudah bersedia untuk menerangkan siapa wanita itu yang sebenarnya.
Saya bagaikan kerasukan apabila suami memberitahu bahawa wanita dalam gambar tersebut adalah isterinya yang kedua, dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun.
Ini bermakna sudah lebih lima tahun mereka menikah!
Malam itu juga saya mengamuk seperti orang gila.
Saya campak semua pakaian dari almari, barangan hiasan atas meja bertaburan.
Tenaga saya juga kuat untuk menolak beberapa perabot rumah dan semuanya berselerakan.
Habis semua kebaikan yang saya lakukan pada suami saya ungkit.
Segala kelemahan dan kekurangannya saya jeritkan pada suami.
Saya hamburkan kemarahan saya dengan mengatakan segala keburukannya.
Ketika itu saya seperti sudah hilang akal dan kewarasan dan berjaya dirasuk untuk menjadi keterlaluan dan derhaka.
Kemarahan menyinga.
Saya menangis, menjerit dan meraung sekuat hati kerana tidak dapat menerima kenyataan.
Suami cuba memujuk tetapi saya tidak peduli dan terus memarahinya.
Saya bengang dengan suami kerana menduakan saya.
Saya tidak dapat menerima hakikat bahawa saya telah dimadukan, dan yang paling tidak dapat diterima akal, sudah lebih lima tahun saya diduakan!
“Apa salah saya? Apa kurangnya saya sehingga suami saya berkahwin lain?
Apa lebihnya wanita itu sehingga suami saya menikahinya?”
Hanya itu pertanyaan² yang berlegar-legar di fikiran saya dan yang paling saya takuti adalah jika saya diabaikan oleh suami saya nanti.
Sungguh saya tak mahu suami tinggalkan saya dan pergi kepada wanita itu.
Singkat kata, saya sangat cemburu!
Hari-hari seterusnya selepas pengakuan suami saya itu, saya masih bermasam muka dengannya.
Saya masih tidak dapat menerima bahwa suami saya sudah menikah lagi bahkan sudah mempunyai anak lain.
Dalam kekecewaan itu, saya mengabaikan banyak tugas dan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri.
Saya sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk mendapatkan suami saya kembali.
Sehinggalah suatu hari terdetik di fikiran saya untuk bertemu dengan seorang dukun/bomoh.
Ya, saya segera temui bomoh dan bomohkan suami saya sendiri!
Itu saya lakukan untuk mendapatkan semula suami saya sepenuhnya.
Saya lakukan ini kerana terlalu sayang suami dan tak mahu dia menjadi milik orang lain.
Kesan dari ‘mengubat’ dengan bomoh itu, saya berhasil menjadikan suami saya tunduk kepada saya, seperti yang saya inginkan.
Suami hanya duduk di rumah selepas pulang dari kerja, bahkan dia juga sudah tidak ke masjid dan ceramah agama, mahupun berbual-bual dengan jiran.
Suami saya juga hanya menurut apa yang saya suruh dan minta tanpa bantahan, bahkan menjadi lebih pendiam dan tidak banyak bicara seperti biasanya.
Walaupun kadang-kadang saya merindukan keceriaan suami saya yang suka bergurau seperti dulu, tetapi saya berpuas hati dengan perubahan suami kini.
Suami sudah tidak ke rumah isteri keduanya.
Menelefon pun tidak.
Memang saya sangat memerhati dan mengawasi suami untuk tidak jauh dari saya.
Jika dia keluar pun, saya akan ikut sama dan akan pulang semula ke rumah kami seperti yang saya aturkan.
Begitulah keadaan suami saya sehingga berbulan-bulan.
Suatu hari, telefon suami saya berbunyi dan kelihatan nombor telefon madu saya tertera di skrin.
Saya segera menjawab dengan terketar-ketar kerana marah.
Di hujung panggilan, kedengaran wanita itu menangis meminta suami saya untuk pulang.
Saya semakin marah dan terus menengkingnya dengan kata kasar, ‘perampas’ ‘perempuan tak tahu malu’, ‘perempuan murahan’ dan sebagainya.
Dalam tangisan itu dia menagih simpati dari saya untuk membenarkan suami saya pulang ke rumahnya walaupun sebentar dan memberitahu bahwa anaknya demam, bekalan makanan di rumahnya sudah habis, tiada apa pun yang ada untuk dimakan, sewa rumah juga berbulan sudah tak dibayar, termasuklah semua bil yang tertunggak.
Bahkan dia bertambah susah kerana dia sendiri tidak bekerja.
Namun rayuannya sedikitpun saya tak endahkan bahkan tetap memakinya dan terus mematikan telefon.
Benci saya pada madu saya itu sedikitpun tak kurang malah semakin menyala-nyala.
Hal isteri kedua suami saya menelefonya sedikit pun tidak diketahui oleh suami saya.
Beberapa hari kemudian, isteri kedua suami saya itu datang ke rumah kami.
Marah saya terus memuncak sebaik saja melihat dia ada di depan rumah kami bersama anak lelakinya.
Melihat dari segi penampilan pakaiannya, wanita itu biasa-biasa saja dan seorang yang beragama.
Tapi itu pun tidak melonggarkan kebencian saya pada dia.
Wanita itu menangis, merayu kepada saya untuk berjumpa dengan suami saya kerana anaknya terlalu merindui suami saya sehingga tidak mahu makan dan sakit.
Namun saya tidak peduli. Memang sesekali saya tak izinkan bahkan membenarkannya masuk dari pintu pagar pun tidak saya benarkan.
Wanita itu terus merayu sambil mengoncang pintu pagar rumah kami.
Saya semakin berang dan menghalau mereka seperti anjing kurap dicampur makian dan kutukan kepadanya, seolah-olah dia itu adalah perempuan yang paling keji yang pernah saya jumpa.
Madu saya itu terus merayu dan menangis untuk bertemu dengan suami saya.
Sedikit pun hati saya tidak tersentuh walaupun anaknya sendiri yang merayu dan menangis kepada saya.
Sungguh keras hati saya yang kalis dengan tangisan anak sekecil itu.
Lama mereka merayu sebelum pergi meninggalkan rumah kami dengan tangisan teresak-esak, itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu mereka dua beranak.
Manakala suami saya hanya memerhati mereka pergi di tepi tingkap jendela rumah tanpa sepatah kata pun.
Selepas peristiwa itu, kami melalui hari-hari seperti biasa, sehinggalah suami saya jatuh sakit dan berlarutan dari hari ke minggu.
Semakin lama semakin merosot keadaannnya.
Tubuhnya juga semakin kurus dan cengkung. Sudah ke pelbagai tempat saya bawa untuk ubati tetapi masih tidak berkesan, doktor juga masih tak dapat mengesan apa-apa penyakit yang dihidapinya.
Setelah beberapa bulan sakit, akhirnya suami saya meninggal dunia dengan penyakitnya. Saya sangat sedih atas kematian suami saya seperti tidak dapat menerima pemergiannya.
Lalu saya hadapi hari-hari berikutnya dengan rasa berdosa yang menggunung dan sentiasa mengingatinya setiap saat.
Selepas pemergian suami, ramai kawan-kawan datang menghulurkan bantuan dan memberi kata-kata semangat.
Antara yang paling kerap mengunjungi kami ialah Maya iaitu isteri sahabat baik suami.
Beberapa bulan kemudian yaitu selepas habis iddah saya, Maya bersama suaminya, Mukthar melawat saya dan anak-anak.
Rupa-rupanya mereka datang untuk melamar saya sebagai isteri kedua Mukhtar.
Maya sendiri mengajak saya untuk menjadi madunya.
Saya sangat terkejut dan meminta masa beberapa hari untuk berfikir.
Ini kerana saya sudah mula berasakan kesusahan hidup sebagai ibu tunggal dengan bersendirian menguruskan anak-anak yang sedang membesar.
Saya tergerak hati untuk bertanya kepada Mukthar, “Mengapa mahu mengawini saya? Adakah kerana kasihan atau sebab lain?”
Lalu Mukhtar dan Maya mulai bercerita tentang sesuatu yang tidak saya ketahui.
Saya tergaman dan menangis apabila Mukhtar memberithu bahawa sebenarnya dia mahu mengawini saya kerana pesanan atau wasiat arwah suami saya.
Katanya, almarhum mahukan kehidupan saya dan anak-anak terjaga selepas ketiadaannya.
Tambahnya lagi, arwah suami saya juga mengetahui bahawa dia telah dibomohkan oleh saya dan Mukhtarlah sahabatnya yang berusaha mencari ubat untuk merawat sakit arwah suami saya itu.
Tetapi belum sempat mereka menemui penawarnya suami saya meninggal.
Mendengarkan itu, saya terkejut bukan kepalang sambil menangis teresak-esak.
Rupa-rupanya suami saya mengetahui apa yang saya lakukan padanya.
Saya kira tiada siapapun yang tahu.
Perasaan saya bercampur baur antara bebanan dosa dan malu kepada Muhktar dan Maya apatah lagi diri sendiri.
Kesal yang tak bertepi dan rasa bersalah dan berdosa yang sesungguhnya pada almarhum suami.
Oh, suami saya mengetahui perbuatan saya?
Tapi masih melayani saya dengan baik, bahkan masih berfikir tentang masa depan saya selepas ketiadaannya.
Ya Allah……
“Menangis air mata darah sekalipun sudah tidak ada gunanya. Kamu bertaubatlah dan mohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang kamu lakukan itu.” Kata Mukthar.
Tidak lama kemudian, saya menerima lamaran Muhktar, alu jadilah saya sebagai isteri kedua dan hidup bermadu.
Maya melayan saya dengan baik walaupun dia mengetahui kisah sebenarnya akan perbuatan terkutuk saya.
Saya mulai bertaubat dengan mengakui dosa-dosa saya dalam sholat dan doa saya.
Saya memohon agar Allah SWT mengampunkan semua kesalahan yang saya lakukan, terutamanya terhadap almarhum suami saya dan madu saya serta anak mereka.
Namun, rasa berdosa saya masih belum tersingkir.
Akhir-akhir ini saya sering terkenangkan madu saya yang pernah saya halau dahulu.
Di mana madu saya bersama anaknya sekarang?
Saya tidak tahu, kali terakhir saya menemui mereka adalah ketika saya menghalau mereka dengan penuh amarah dan kedengkian di hadapan rumah tempoh hari.
Suatu hari saya ceritakan tentang madu saya ini kepada Maya.
Rupanya Maya juga mengetahui kisah itu.
Sekali lagi saya malu.
Saya ingin menemui mereka dan memohon maaf.
Saya sangat menyesal dengan tindakan bodoh saya yang sangat kejam dan terburu-buru.
Maya hanya menyuruh saya bersabar dan berusaha mencari mereka sedaya upaya.
Semakin hari saya makin terfikir akan semua tindakan saya yang lepas, bermula dengan suami saya yang menikah lagi.
Tidak sedikit pun saya cuba berbaik.
Padahal sepanjang lima tahun suami beristeri dua, tidak pernah suami mengabaikan saya dan anak-anak.
Saya telah dirasuk oleh nafsu amarah sehingga saya lupa semua kebaikan suami kepada saya.
Saya sangat emosi sejadi²nya, seolah-oleh berkahwin dua itu satu dosa besar.
Saya juga menghalau madu saya dengan anaknya hanya kerana saya takut kehilangan suami saya.
Dan akhirnya suami saya tetap ‘pergi’ angkara saya sendiri.
Kemudian arwah suami saya jatuh sakit dan meninggal dunia, adakah kerana ‘ubat’ bomoh itu yang membuatkan suami saya sakit dan meninggal?
Oh, derhakanya saya jika suami saya pergi tanpa sempat memaafkan saya.
Dan ketika inilah saya terfikir, adakah ini kafarah Allah kepada saya?
Dahulu saya sangat menentang apabila suami saya berkahwin lagi, dan kini saya pula menjadi isteri kedua!
Dahulu saya memisahkan seorang isteri dari suaminya dan seorang anak dari bapanya, dan kini saya merasainya.
Kalaulah dahulu saya lebih berfikiran panjang dengan menerima madu saya, dan tidak membomohkan suami saya sendiri sudah tentu hal ini tidak terjadi.
Saya sangat-sangat menyesal dan rasa berdosa yang amat sangat.
Dosa ini seolah-olah tak mampu dihapus walaupun setiap solat saya menangis dan merintih kepada Allah SWT agar diampunkan segala kesilapan saya.
Barulah kini saya sedar, sebenarnya kasih sayang ini milik Allah, hidup ini milik Allah, kenapa kita takut? Takut untuk hilang kasih sayang manusia?
Kesannya, kehidupan saya sentiasa dalam sedih, malu dan rasa berdosa sehingga nota ini ditulis sedikit pun tidak kurang rasa dosa dan kesal itu.
Sehingga kini juga saya masih belum menemui madu saya dan anaknya itu untuk memohon ampun.
Untuk para pembaca sekalian, jadilah kisah hitam saya ini sebagai pengajaran dan pedoman.
Jangan terlalu takut untuk kehilangan kasih sayang manusia sehinggakan kita tega sampai hati melakukan perkara terlaknat dan hilang kasih sayang Allah.
Doakanlah saya berhasil menemukan kembali madu saya itu agar sedikit tenang hidup saya ini.
Terima kasih kerana sudi membaca dan memahami, semoga bermanfaat untuk semua.
Baca :
“Saya sedang berselera dan seronok” – Diana Danielle tampil jawab dakwaan sedang hamil
“Bagus PLKN, boleh buka otak” – Nourul Depp tawar diri nak jadi jurulatih PLKN
Ini 4 cara mahu tahu kereta ‘second hand’ pernah terendam banjir atau terlibat kemalangan