Dulu kerja kedai sate di Kajang, kini tokoh politik Indonesia. Siapa sangka seorang anak muda dari seberang yang pernah membakar sate demi menyara hidup di bumi Malaysia, kini bergelar tokoh politik disegani di negaranya sendiri?
Itulah kisah inspirasi Thoriqul Haq, yang baru-baru ini kembali menjejakkan kaki ke tempat kerja lamanya di Kajang, Selangor – sebuah restoran sate popular yang dikenali sebagai Sate Emas Kajang.
Kunjungan beliau bukan sekadar biasa-biasa. Ia sarat dengan nostalgia dan kenangan manis yang tersimpan lebih dua dekad lalu, sewaktu beliau masih menuntut pengajian peringkat Sarjana (Master) di salah sebuah universiti tempatan sekitar tahun 2001.
“Dulu saya kerja di sini. Betul ini restoran Sate Emas Kajang. Pemiliknya dulu Haji Mahful,” katanya sambil tersenyum mengenang memori silam.
Menurutnya, beliau bekerja di restoran itu selama setahun sebagai pelayan dan pembantu dapur – menyara kehidupan harian sebagai pelajar perantau. Tanpa malu, Thoriqul dengan penuh rendah hati membuat pesanan makanan yang dulu sering dihidangkannya sendiri.
Lebih menyentuh hati, beliau masih mengingati nama pemilik asal restoran serta beberapa pekerja lama, termasuk Idris, yang masih bekerja di situ hingga ke hari ini. Penjaga kaunter yang tersentuh dengan kunjungan itu turut mempertemukan beliau dengan pekerja senior tersebut.
Namun yang paling mengejutkan ramai, lelaki sederhana ini bukan calang-calang orang. Thoriqul Haq kini merupakan pemegang PhD dan bekas Datuk Bandar Lumajang, sebuah daerah di Jawa Timur, Indonesia. Kini beliau terus mengorak langkah dalam arena politik tanah airnya.
Ketika mengimbau kenangan di restoran itu, wajahnya jelas terpancar kegembiraan dan rasa syukur kerana tempat yang menjadi saksi jatuh bangunnya dahulu masih utuh berdiri.
“Satenya masih rasa sama seperti dulu… manisnya masih terasa,” katanya sambil menikmati makanan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Kisah ini pantas meraih perhatian netizen selepas ia tular di TikTok. Rata-rata warga maya dari Malaysia meluahkan rasa bangga dan kagum melihat bagaimana seorang perantau biasa mampu melakar kejayaan luar biasa.
“Dulu pelayan sate, kini pemimpin negara.” Kisah Thoriqul Haq menjadi bukti bahawa pengorbanan, kerja keras dan keikhlasan tidak pernah mengkhianati hasilnya.
Lebih membanggakan, beliau tetap tidak lupa asal-usul dan tempat yang pernah berjasa dalam perjalanan hidupnya.
BACA JUGA :
‘Sate pun sibuk letak keju, ini bahayanya ‘fake cheese’
Rupanya ini maksud nombor pada bungkusan daging sejuk beku ramai tak tahu
Pelakon wanita terbaik Anugerah Skrin, kini tukang bakar satay