Sebanyak 90 peratus pengguna program subsidi bersasar petrol RON95 Budi Madani (Budi95) didapati menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus menunjukkan had 300 liter yang ditetapkan kerajaan adalah mencukupi untuk kegunaan kebanyakan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rekod pelaksanaan sejak September lalu menunjukkan purata penggunaan sebenar hanyalah sekitar 100 liter sebulan, iaitu jauh lebih rendah daripada kuota maksimum yang dibenarkan.
Menurut beliau, dapatan itu membuktikan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini bahawa had 300 liter tidak memadai adalah tidak berasas kerana data semasa jelas menunjukkan majoriti rakyat tidak menggunakan jumlah maksimum tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berhubung jumlah penjimatan yang berjaya dicapai menerusi pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan program Budi95 kini mencatat purata 3.1 juta pengguna sehari dan pelaksanaannya berjalan lancar walaupun hanya membenarkan pembelian RON95 bersubsidi oleh pemegang MyKad yang memiliki lesen memandu sah.
Kerajaan menjangkakan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 itu mampu menjimatkan perbelanjaan negara sehingga RM2.5 bilion tahun ini, hasil kawalan lebih tersusun dan pengurangan ketirisan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam serta pasukan penguat kuasa yang memastikan sistem berfungsi dengan baik, selain memuji sikap patriotik rakyat yang membantu menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan bahan api bersubsidi oleh warga asing dan kenderaan luar negara.
Pada peringkat awal pelaksanaan, kerajaan menerima kritikan berhubung kecukupan kuota, namun statistik penggunaan semasa menunjukkan dasar tersebut praktikal dan selari dengan corak penggunaan sebenar rakyat.