Realtime website trackingweb stats

Dahulu tumpuan pelancong, Rantau Panjang kini sepi, ini sebenarnya yang jadi

Oleh NURAIMAN

Pekan Rantau Panjang, yang dahulunya terkenal dengan meriahnya suasana membeli-belah terutama bagi pelancong,

kini semakin sunyi dan lengang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, pekan ini sering sesak dengan kenderaan, termasuk bas-bas pelancong, namun kini keadaan itu tidak lagi berlaku, meskipun pada hujung minggu.

Menurut peniaga, fenomena ini menyebabkan hampir 50 peratus daripada 2,000 peniaga di pekan tersebut

Mereka terpaksa menutup perniagaan mereka dan mencari lokasi lain demi kelangsungan hidup.

Dahulu tumpuan pelancong, Rantau Panjang kini sepi, ini sebenarnya yang jadi

Tinjauan di lokasi mendapati banyak premis perniagaan yang ditutup, dengan notis “untuk disewa” dipasang di pintu kedai.

Bazar Siti Fatimah, yang mempunyai lebih 300 unit kedai, juga kini kosong dan sepi, dengan hanya kurang daripada 10 peniaga yang masih bertahan.

Beberapa peniaga melaporkan bahawa mereka langsung tidak memperoleh jualan selama tiga bulan, memaksa mereka menutup kedai dan mencari pekerjaan lain.

Pengerusi Persatuan Bazar Siti Fatimah, Zamri Idris, 58, berkata masalah kekurangan sambutan ini telah berlaku sejak lima tahun lalu dan terus berlanjutan hingga kini. Menurut beliau, kini peniaga hanya bergantung pada cuti sekolah atau hujung minggu, namun ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, di mana mendapatkan seorang pelanggan pun sudah sukar.

“Dulu ada sekitar 2,000 peniaga, namun kini tinggal sekitar 1,000 sahaja kerana ramai yang terpaksa berpindah ke tempat lain,” katanya ketika ditemui.

Zamri menjelaskan bahawa ada pelbagai faktor yang menyebabkan Rantau Panjang kurang mendapat sambutan. Antara faktor utama adalah fenomena kesesakan jalan raya yang kini lebih banyak berlaku disebabkan ramai orang yang mahu ke Thailand.

“Untuk menarik pelancong, kita tidak boleh hanya bergantung pada barang niaga semata-mata, sebaliknya perlu ada nilai tambah yang mampu menarik perhatian orang ramai. Masyarakat kini mencari tempat yang menarik untuk bergambar dan sebagainya, sedangkan pekan Rantau Panjang tidak banyak berubah sejak dulu, menyebabkan orang ramai beralih ke tempat lain,” tambahnya.

Beliau juga menggesa semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan sektor swasta, untuk memainkan peranan dalam membangunkan kawasan Rantau Panjang agar dapat menarik semula kunjungan orang ramai seperti dahulu.

Sementara itu, peniaga, Solehah Arsyad, 68, turut meluahkan keluh kesahnya. Beliau berkata ada kalanya kedainya tidak dikunjungi pelanggan selama hampir dua minggu.

“Memang perit berniaga di sini sekarang. Anak saya dulu membuka kedai selama tiga bulan, tetapi langsung tidak mendapat jualan, menyebabkan dia terpaksa tutup kedai dan bekerja dengan orang lain,” katanya.

Menurutnya, jika bergantung sepenuhnya pada hasil perniagaan untuk menyara keluarga, ia tidak lagi mencukupi dengan keadaan yang semakin teruk ini. Di Bazar Siti Fatimah, hanya tinggal lapan peniaga yang masih bertahan, sementara yang lain sudah lama menutup perniagaan mereka akibat kekurangan pelanggan.

“Saya masih berharap Rantau Panjang akan kembali ‘hidup’ seperti dulu,” tambah Solehah dengan penuh harapan.

BACA: Kalau kena luck pasti ‘jackpot’ dengan poket simpan barang dalam pesawat, kru kabin pun kerap jumpa