Realtime website trackingweb stats

Cina yang menjadi Kapitan Melayu

Oleh ADINDA

Muhaimin Sulam | Cina yang menjadi Kapitan Melayu

Persaingan politik dan ekonomi di rantau Nusantara oleh kuasa-kuasa barat menyebabkan Belanda mewujudkan kerjasama politik dengan beberapa pemimpin kerajaan Melayu dan pedagang-pedagang yang mempunyai kepentingan perdagangan di Melaka. Belanda mewujudkan pakatan dengan Johor, Acheh dan juga beberapa negeri lain.

Akhirnya pada 1741, Belanda telah berjaya menawan Melaka daripada tangan Portugis. Antara orang yang membantu Belanda ialah Datuk Aroom, seorang pedagang di Melaka yang berasal dari China.

Nama asal Datok Aroom ialah Tan Seek Teong diberi nama Harun (kemudiannya dipanggil Haroom, Arom, Aroom mengikut sebutan Tionghua) selepas beliau menganut Islam. Menurut cerita lisan orang tempatan, beliau datang dari China dan kapal perdagangannya karam di Selat Melaka tetapi beliau terselamat. Kemudian beliau berkahwin dengan anak perempuan salah seorang pembesar Melayu Melaka.

Datok Aroom dilantik sebagai Kapitan Melayu yang pertama kerana peranannya membantu Belanda menentang Portugis menawan Melaka. Datuk Aroom juga diberikan tanah di sekitar Jalan Kuli, Jalan Kling dan Jalan Kampong Ulu oleh Belanda sebagai menghargai jasa beliau. Kawasan itu dikenali sebagai Jonker Street merupakan tumpuan utama pelancong dalam dan luar negeri. Jika hujung minggu, ramai orang bersiar-siar dan boleh memudik sepanjang Sungai Melaka dengan bot.

Tanah tersebut digunakan untuk menempatkan waris-warisnya, pegawai-pegawai masjid serta para hambanya. Anaknya, Datok Shamsuddin telah mengambil alih jawatan Kapitan Melayu selepas beliau uzur dan tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya.

Tiada diketahui mengapa Belanda tidak melantik orang Melayu tempatan sebagai Kapitan Melayu. Mengapa seorang berketurunan Cina untuk menjadi ketua orang Melayu. Mungkin Belanda tidak mempercayai orang Melayu bimbang mereka membina pengaruh dan menentang Belanda. Mungkin. Mungkin juga orang Melayu tidak mahu bekerjasama dengan Belanda. Mereka tetap menganggap Belanda penjajah seperti Portugis.

Penulis di hadapan pintu masuk Makam Datuk Aroom, Kapitan Melayu Melaka dan kerabatnya

Jika berdasarkan tesis Syed Hussein alatas dalam bukunya ‘Metos Pribumi Malas’, keadaan ini wujud kerana falsafah hidup orang Melayu adalah menghargai kebebasan diri dan tidak mahu hidup bertuankan sesiapa. Tuan orang Melayu ialah hanya kepada orang Melayu sendiri samada sultan, bendahara ataupun laksamana. Pantang Melayu bertuankan dengan orang bukan Melayu.

Psikologi dan politik Melayu inilah yang perlu difahami oleh orang politik terutama pemimpin bukan Melayu. Mereka boleh menjadi pemimpin kepada orang Melayu jika memahami dan menghayati falsafah politik orang Melayu. Orang Melayu tidak mendambakan kekayaan yang melimpah ruah. Mereka sanggup miskin demi perjuangan bangsa dan agama. Orang Melayu tidak cemburu atau dengki jika pembesar mereka kaya.

Makam Datuk Aroom di Bukit Beruang. Kapitan Melayu yang dipercayai pemilik tanah asal yang terdapat di sekitar Bandar Melaka. Sumber Fairus Mamat 

Di sebalik pelantikan Datok Aroom dan kemudian anaknya dilantik sebagai Kapitan Melayu Melaka mungkin kerana mereka dianggap sebagai Melayu setelah beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan dan berbahasa Melayu. Sikap dan pendekatan itu diteruskan oleh anaknya, Datuk Shamsuddin yang menjadi Kapitan Melayu Kedua di Melaka.

Datok Aroom dikebumikan di kawasan perkuburan di Bukit Beruang yang dikenali sebagai ‘Kubur Batu Nisan Acheh’. Di kawasan tersebut mempunyai beberapa batu nesan Acheh dan merupakan tempat perkuburan kerabat Kapitan Melayu Datok Aroom. Anak beliau, Datok Shamsuddin mengasaskan Masjid Kampong Hulu pada 1728 dan merupakan antara masjid paling awal yang ada di Malaysia.

Masjid Kampung Hulu pada tahun 1910. Masjid Kampung Hulu dahulu, masyarakat daripada pelbagai bangsa datang untuk angkat sumpah, antaranya Baba Nyonya dan Chetti. Selalunya seorang penjenayah akan dicabar angkat sumpah di masjid ini untuk membuktikan diri tidak bersalah. Namun kebanyakan orang tidak berani angkat sumpah kerana takut akan balasan buruk sekiranya sumpah itu dilanggar. Sumber Melaka In Fact

Maqam Datok Shamsuddin terletak di Bukit Beruang bersama dengan bapa dan serta kaum keluarganya. Batu nesan Datok Shamsuddin adalah batu nesan Acheh tercantik yang pernah saya lihat setakat ini di tanah air. Batu nesan bukan sekadar batu tanda bagi kubur seseorang sahaja. Ia adalah identiti yang dikaitkan antara si mati dengan kehidupannya sebelum kematiannya.

Makam Datok Shamsuddin anak Datok Aroom dengan batu nesan Acheh. Sumber Fairus Mamat

Batu Acheh adalah batu nesan yang diperbuat di Acheh dan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ia diperbuat daripada batu yang tahan lama dan mempunyai ukiran yang pelbagai. Biasanya diukir dengan ayat-ayat al Quran, puisi dan nama, tarikh bersama lakaran awan larat atau tema bunga.

Hanya pembesar dan tokoh yang kaya sahaja mampu menyediakan batu nesan Acheh. Batu nesan Dato Shamsuddin mempunyai ketinggian lebih satu meter dan ada tiga tingkat. Falsafah di sebalik tiga tingkat pada batu nesan adalah merujuk tubuh manusia yang mempunyai tiga bahagian. Bahagian pertama adalah kepala, kedua adalah badan dan bahagian ketiga adalah kaki. Setiap bahagian diukir dengan ukiran yang halus dan cantik.

Batu nisan Datok Shamsudin. Sumber gambar Merah Silu

Pada maqam tersebut, terdapat satu batu belindan berfungsi mengikat batu nesan untuk tegak kukuh. Tidak banyak maqam lama yang mempunyai ciri-ciri seperti ini. Setiap ukiran dan seni binanya dibangunkan dengan falsafahnya tersendiri. Begitu juga Masjid Kampong Hulu mempunyai seni reka bentuknya yang menggabungkan seni dari tamadun China, India dan tempatan. Seni bina yang unik itu hanya ada di Melaka.

Kerajaan pada tahun 2011 telah membina sebuah masjid besar dengan reka bentuk seperti itu di Krubong, berhampiran Stadium Hang Jebat. Masjid itu dikenali dengan nama ‘Masjid Cina Melaka’. Ia adalah boleh dikatakan satu projek pelancongan tetapi tidak ramai yang datang berbanding masjid yang dibina oleh Kapitan Melayu itu. Imam, bilal, pengawal, pekerja dan makmumnya semua adalah Melayu.

Susah hendak ‘jual’ nama Cina berbanding dengan ‘jual’ nama Melayu dan Islam. Apatah lagi jika jual Cina jadi-jadian. Sebaliknya nilai Melayu dan Islam memang pelaris perniagaan dan politik pengaruh. Oleh sebab itu ia selalu laku dan ramai termakan jika apa-apa produk dibalut dengan kulit Melayu -Islam seperti dengan tulisan Jawi, istilah Arab atau lambang kopiah, kubah dan sebagainya.

Menjual jenama Melayu – Islam yang palsu lebih mudah memikat pengguna hatta kepada pengguna Melayu-Islam sendiri terutama yang naif dalam memahami sosio budaya dalam politik dan perniagaan. Pantang dijulang tulisan Jawi dan kata-kata Arab terus melompat.

Nampak sangat Abu Jahalnya yang lahab.

Kubur di dalam kawasan makam yang sudah hilang batu nesannya.

Antara kubur yang ada di dalam kawasan Makam Lama Batu Nesan Acheh

 

Dr. Muhaimin Sulam, seorang sejarawan dan budayawan menerbitkan sebuah program rancangan Melaka 5 Minit yang memaparkan sejarah Melaka yang kurang didendangkan pada masyarakat.