Kisah tentang ‘Jodoh Lambat Sampai’ membawa kita ke dalam pengalaman yang menyentuh hati tentang ketabahan dan harapan dalam menunggu cinta sejati.
“Kenapa tiada orang hendakkan aku? Aku ni tak cantik ke? Apa kurangnya aku? Sampai bila aku hendak hidup sendiri?”
Mungkin ini adalah salah satu pertanyaan yang timbul dalam fikiran seseorang apabila dia merasa bahawa jodohnya datang dengan perlahan dan terasa sukar dicapai.
Walaupun dia telah mencuba pelbagai cara, tetapi dia masih belum bertemu dengan jodohnya.
Belum lagi reda dengan semua pertanyaan yang bermain di fikiran, rakan-rakan sekeliling sibuk bertanya soalan-soalan mengenai jodoh yang susah nak dijawab.
Ya, jodoh memang ditentukan oleh Allah sebelum kita dilahirkan ke dunia ini yang sementara. Percayalah bahawa segala yang terjadi dan ketentuan yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk kita.
Mengapa perkara tentang jodoh begitu sukar dan kadang-kadang memakan masa yang lama? Bagaimana kita boleh mengetahui bahawa seseorang itu sebenarnya jodoh kita?
Setiap individu mempunyai jodoh mereka sendiri.
Ustaz Hanafi, yang juga dikenali sebagai Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek, menerima pelbagai pertanyaan daripada peminat Sinar Islam.
Sebelum memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan itu, beliau mengajak kita untuk memahami konsep jodoh yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebelum kita dilahirkan.
“Jodoh seseorang itu pasti ada dan sama ada di dunia ataupun jika tidak di dunia, di akhirat nanti. Wallahu’alam. Perbincangan dalam kalangan ulama, jodoh setiap orang ada sebagaimana rezekinya.
“Sebelum seseorang itu lahir, telah ditetapkan tiga perkara buatnya iaitu pertama rezeki, kedua jodoh dan ketiga ialah umurnya.
“Ada orang mungkin sudah buat pelbagai usaha, tetapi jodoh tiada. Kemungkinan jodoh yang ALLAH telah tetapkan itu telah meninggal dunia atau syahid dan mereka akan bertemu di dalam syurga nanti,” katanya ketika ditemui di pejabat Ecoriths Leisure Travel & Tour di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ustaz Hanafi menerangkan, terdapat dua sebab mengapa seseorang mungkin lambat mendapat jodoh.
Pertama, kemungkinan besar jodohnya “berat” kerana ALLAH SWT ‘memberatkan’ jodohnya.
Kedua, mungkin juga disebabkan oleh sikap atau perilaku seseorang itu sendiri.
“Mungkin seseorang itu terlalu memilih atau malas mencari jodoh. Dalam bab jodoh itu, ada dua istilah kita selalu dengar iaitu satu apabila kita terjumpa jodoh dan satu lagi ialah mencari jodoh.
“Kedua-dua itu berbeza istilahnya sepertimana kita jumpa duit. Sudah tentu berbeza situasi apabila kita jumpa duit atau barang dengan benda yang kita cari. Pastinya kita akan mencari yang terbaik untuk diri kita.
“Jadi nasihat saya, jangan mengeluh, tetapi berusaha dan jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Sebaliknya, teruskan berdoa dan senyum selalu, insya-ALLAH jodoh (kita) itu ada,” katanya.
Walaupun begitu, kata beliau, masa depan pasangan hidup seseorang, sama ada lambat atau cepat, sebenarnya adalah diatur oleh Allah SWT.
Walau bagaimanapun, umat Islam diberi nasihat agar sentiasa berdoa, berusaha untuk mencari jodoh yang sudah ditentukan, dan berserah kepada Allah.
“Paling penting, kita dapat jodoh sebenar yang ALLAH SWT telah tetapkan. Sebab itulah setiap kali solat, kita akan meminta kepada ALLAH Iyyaka na’budu wa iyyaka nastai’n (Hanya ENGKAU kami sembah dan hanya kepada ENGKAU kami memohon pertolongan).
“Tolong apa? Ihdinas siratal mustaqim (menunjukkan kami jalan yang lurus). Jalan yang lurus itu (termasuklah) dalam mencari jodoh, rezeki dan keberkatan umur sebab sebelum kita lahir lagi, ALLAH SWT sudah tetapkan tiga perkara itu. Jadi, kita meminta tolong kepada ALLAH supaya menunjukkan jalan yang lurus.
“Maknanya ALLAH tunjuk jalan, kita kena berusaha. Maka usaha mencari jodoh itu hukumnya wajib. Bagi seorang lelaki, dia perlu mencari jodoh untuk dirinya sendiri, tetapi bagi seorang wanita, ayahnya bertanggungjawab untuk mencari jodoh untuk dirinya,” ujar beliau.
Panduan mencari jodoh
Sabda Rasulullah SAW: “Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama (berpegang dengan tuntutan agama), pasti engkau beruntung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Pertama ialah agamanya yang mana wanita perlu carilah lelaki yang soleh. Tidak salah kita meminang lelaki kerana dalam Islam dibenarkan. Kemudian, lihatlah solatnya. Kalau lelaki itu boleh jaga solatnya, insya-ALLAH dia boleh jaga kita. Kalau dia tak jaga solat iaitu hubungan ALLAH, bagaimana dia hendak jaga kita? (Sedangkan) Janji dengan ALLAH pun dikhianati, apatah lagi janji dengan kita.
“Kedua, carilah mereka yang mempunyai keturunan yang baik. Ketiga, jangan lupa kahwin sebab hartanya. Yang terakhir sekali, barulah rupa,” katanya.
Ustaz Hanafi memberi pandangan tentang cara mudah untuk mendapatkan pasangan hidup dengan menggunakan kaedah DUS, iaitu doa, usaha, sekufu, dan senyum.
“Sebenarnya, seorang bapa perlu mendoakan anak perempuannya sejak usianya sembilan tahun untuk mendapatkan jodoh. Ini kerana doa itu belum tentu dimakbulkan ketika anaknya umur sebegitu, mungkin dimakbulkan 10 tahun atau 20 tahun lagi.
“Doa untuk jodoh selalunya mengambil masa, jadi kena berdoa daripada awal. Antara doa yang paling bagus iaitu ayat 74, Surah al-Furqan,” jelas beliau.
Kepada satu soalan, Ustaz Hanafi berkata: “Hukum asal menggunakan portal mencari jodoh ialah harus. Ia satu usaha era moden untuk mencari jodoh. Namun, kita kena ingat, bila gunakan platform tersebut, mesti niat kerana ALLAH untuk mencari jodoh.
“Tak salah guna portal tersebut. Cuma isunya kalau hendak bagi gambar, janganlah gambar yang menjolok mata atau mendedahkan aurat. Sebaiknya, berilah gambar yang betul, jangan tampal ‘simen’ pada muka dengan mekap berlebihan. Ingat, jangan ada unsur penipuan dan mengambil kesempatan.”
Kesediaan
Katanya, walaupun takdir jodoh telah ditetapkan oleh ALLAH SWT, sebagai hamba-NYA, kita masih boleh berusaha dan berdoa untuk mendapatkan jodoh yang baik. Menurutnya, persoalan ini sepatutnya dilihat dari perspektif kesediaan diri seseorang iaitu:
1. Cubaan untuk mempersiapkan diri dari segi minda, jasmani, dan rohani agar dapat mempelajari ilmu dan norma-norma untuk menghadapi kehidupan keluarga.
2. Bersikap terus terang dan ikhlas dengan ibu bapa, keluarga, atau kawan-kawan apabila membincangkan tentang pasangan hidup selagi mana tindakan itu tidak melanggar prinsip-prinsip syariah.
3. Tidak terlalu memilih jika terdapat calon yang memenuhi syarat-syarat yang disokong oleh syariah Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada yang meminang dan kalian reda dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.” (Riwayat al-Tirmizi)
Menjawab satu soalan, Ustazah Siti Fatahiyah berkata: “Akan terdetik dalam hati kita bahawa dia ialah jodoh kita apabila kita merasa tenang tatkala melihatnya. Akan berdegup jantung kita meneka mungkinkah dia jodoh kita apabila banyak persamaan antara kita dan dia.
“Akan merasa yakin yang dia ditakdirkan untuk kita apabila melihat keimanannya, ibu bapa merestuinya dan segala urusan kita dipermudahkan. Untuk menyakinkan bahawa dia ialah jodoh kita apabila memenuhi semua yang dikatakan tadi, dirikanlah solat istikharah bagi memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.”
Beliau berkata, pemilihan jodoh yang baik adalah sangat penting bagi memastikan keluarga yang kita bina dapat membawa kita sama-sama menghuni syurga milik ALLAH SWT nanti.
“Dalam memilih pasangan, usahlah tergesa-gesa untuk jatuh cinta. Pandulah cinta kita ke arah jalan yang benar untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki.
“Perkahwinan adalah amanah yang penuh dengan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Bukan hanya dipenuhi kasih sayang semata-mata yang adakalanya boleh meruntuhkan kebahagiaan yang dicipta. Bercintalah dengan mereka yang meletakkan cinta utama kepada Pencipta, pasti akan menambahkan lagi ketenangan dan ketakwaan dalam hidup kita,” ujar beliau mengakhiri bicara.
Jangan persoalkan apa yang ALLAH tetapkan
Jodoh adalah salah satu anugerah atau pemberian daripada ALLAH SWT kepada kita yang termasuk dalam rezeki mamluk (dipinjam milik oleh ALLAH).
Oleh itu, Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz memberi peringatan yang penting – bahawa suami, isteri, dan anak-anak kita hanya pinjaman semasa kita di dunia ini.
“Ini kerana setiap anak Adam yang dilahirkan daripada perut seorang ibu itu telah ditetapkan empat perkara iaitu rezeki, tempoh hidup, amalannya dan nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.
“Jadi, memang manusia tidak tahu akan jodoh mereka. Ia adalah fitrah kerana sememangnya ilmu kita sebenarnya didahului dengan jahil. Kita jalani apa sahaja yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT. Apabila tiba masanya, barulah kita tahu bahawa itulah yang ditulis ALLAH sejak dahulu lagi,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
PU Faiz, yang juga merupakan Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nadhlatul Ulama Malaysia, telah memberi amaran tentang sikap beberapa golongan masyarakat yang hanya menginginkan pasangan hidup yang sempurna.
Beliau menekankan bahawa terdapat segelintir individu yang cenderung menolak perkara-perkara penting dalam proses mencari pasangan hidup, walaupun hal tersebut seharusnya mendapat penekanan.
“Ya, manusia memang hendak kepada kesempurnaan, tetapi dia kena ingat bahawa yang memberi itu ialah Tuhan. Yang menerima itu ialah dia sebagai hamba. Jadi dia tiada hak (untuk persoalkan) sama ada ALLAH akan memberikan sebagaimana yang dia mahukan.
“Apapun, kita kena ingat, di dunia ALLAH SWT, ada ujian dan rezeki yang mana ia akan dipertanggungjawabkan kepada kita,” ujar beliau.
Mudir Pondok Sungai Buloh Selangor Ma’ahad Rumi Sufi Jawi mengajak kita untuk mengenang kisah dua nabi Allah SWT, iaitu Nabi Luth dan Nabi Nuh AS. Dalam kisah ini, kedua-dua nabi tersebut diuji dengan isteri yang kafir.
Namun demikian, katanya, kedua-dua nabi Allah itu sabar dan tidak pernah merasa bosan memberi nasihat kepada isteri masing-masing.
“Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik itu hanyalah hukum adat sahaja, tetapi ia tidak wajib pada syarak dan akal. Pada hari ini, bagi isteri yang mendapat suami yang nakal atau jahat, renungkanlah kisah Asiah yang bersuamikan Firaun.
“Asiah seorang wanita Mukminah dan solehah, sedangkan Firaun degil dan jahatnya bukan kepalang, mengaku dirinya Tuhan hinggakan dua orang rasul diutuskan untuk menasihati Firaun,” katanya.
Menurut seorang agamawan, itu bukanlah satu kesalahan jika kita impikan pasangan yang sempurna. Tetapi, setelah berkahwin, adalah penting untuk menjalani kehidupan sebagai hamba Allah.
“Kita kena bertanggungjawab kerana ALLAH SWT akan menyoal kita nanti (di akhirat). Maksudnya kita tidak boleh mempersoalkan ALLAH, tetapi setelah Tuhan meletakkan itu ialah jodoh kita, kita perlu jalankan tugas sebagai hamba-NYA,” katanya.
Baca:
Ramai saja Melayu rajin berusaha, tauke pulut kuning pun kecam ‘makcik Kemboja’
“Saya reda, sekarang masa saya” – Popular dalam slot terjah Melodi, ini keadaan terkini Nas Ahmad
Lagu nurse viral punya pasal, sampai ada tukar cita-cita, ini proses jika nak jadi nurse lepas SPM