Realtime website trackingweb stats

Betul ke asbab dosa lampau ibu bapa, anak yang dapat bala? Ini jawapan Mufti

Oleh ABDULLAH HAMID

Sejak zaman dahulu, terutama bagi yang beragama Islam, banyak orang tua berpendapat bahawa ‘ketidakjadian’ anak itu berpunca daripada dosa ibu bapa yang lepas.

Contohnya, jika anak-anak sering menghadapi kesusahan atau mempunyai akhlak yang buruk, mungkin puncanya adalah dari kesalahan ibu bapa mereka sendiri.

Adakah ini benar dan terdapat dalam nas Islam, atau sekadar cakap-cakap orang tua?

Berikut adalah pandangan yang dikongsi di laman Facebook dan penjelasan daripada Mufti.

Satu perkongsian di laman Facebook mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Betul ke asbab dosa lampau ibu bapa, anak yang dapat bala? Ini jawapan Mufti

Puan Rohana Saad menyatakan bahawa ibu bapa perlu sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT, kerana dosa mereka boleh memberi kesan kepada tingkah laku anak.

“Kadang-kadang, atas dosa-dosa ibu bapa, anak-anak yang menanggung kesan. Mungkin ibu bapa sudah lupa dosa-dosa mereka, tetapi anak-anak yang menerima akibatnya. Ibu bapa perlu banyak bertaubat dan merenungkan kesilapan diri jika anak melakukan kesalahan atau menghadapi dugaan dalam hidup mereka.”

Menurutnya, anak-anak kadangkala diuji dengan kesusahan kerana dosa yang dilakukan oleh ibu bapa. Oleh itu, jika anak-anak sentiasa dihadapi dengan kekurangan atau kegagalan, kita perlu merenungkan adakah kita pernah mengambil hak orang lain. “Jika Allah menguji kita dengan perangai anak-anak, mungkin Allah mahu kita kembali menilai diri sendiri dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Ibu bapa perlu bertaubat dan merenungkan kesilapan diri jika anak-anak berkelakuan tidak baik.”

“Dosa Sendiri Tanggung Sendiri”

Di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan pandangan ini, sementara ada juga yang menolak dengan menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab atas dosanya sendiri. Oleh itu, Mufti tampil untuk menjelaskan sama ada dosa ibu bapa memberi ‘tempias’ kepada kesusahan dan akhlak anak.

Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa tiada nas yang jelas yang menyatakan bahawa dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak buruk anak-anak. Namun, nas ada menyebut tentang tanggungjawab ibu bapa dalam mengajar dan mendidik anak agar patuh kepada ajaran agama.

Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang positif, kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang terdekat dengan mereka. Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan teladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak. Namun, jika setelah usaha mendidik, anak-anak masih berkelakuan buruk, ini mungkin ujian bagi ibu bapa atau sebagai peluang untuk Allah SWT memberikan kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka. والله أعلم

Firman Allah SWT:

يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki untuk diambil berat melakukannya.” – Surah Luqman (17)

BACA: Pening cari jodoh tak jumpa-jumpa? Ini cara dapatkan jodoh tak sampai sebulan confirm tak digelar single