Ali Muda
Abdul Hadi Awang dan ulama Pas selalu berhujah mendakwa penjajah mensekularkan undang-undang kita. Mereka sering berkata negara kita sudah mengamalkan undang-undang Islam seperti Hukum Kanun Melaka (HKM) sebelum kedatangan penjajah.
Benarkah HKM itu undang-undang Islam? Mari kita membaca kajian pakar sejarah. Percaya kepada Hadi dan pengikutnya samalah seperti kita percaya kesimpulan ceteknya dulu kononnya perlembagaan negara ini adalah perlembagaan penjajah.
Menurut Prof. Dato Dr. Abu Hassan Mohd Sham dalam makalahnya bertajuk Hukum Kanun Melaka Dan Undang-undang Laut Melaka (dalam Polemik Sejarah Malaysia 1/49-68), HKM “diatur tanpa susunan yang sistematik. Ia sebenarnya mengandungi fasal-fasal mengenai perlembagaan, jenayah, undang-undang harta, kontrak, undang-undang keluarga dan undang-undang laut. Kandungan HKM adalah campur-aduk antara undang-undang adat, Hindu dan Islam”. (Sila ulang baca frasa ini)
Kesimpulan ini dibuat selepas beliau menyenaraikan 44 fasal dan segala sub-fasalnya dalam HKM yang diambil daripada kajian Liaw Yock Fang bertajuk Undang-undang Melaka terbitan The Hague 1976.
Terdapat beberapa versi lain lagi bagi HKM. Antaranya versi kajian Dr. Ph S van Ronkel yang diterbitkan di Leiden tahun 1919. Liaw Yock Fang mengkŕitik versi Ronkel sebagai tidak lengkap kerana ada 27 fasal sahaja. T. J. Newbold pula dalam bukunya British Settlements in the Straits of Malacca (1839) pernah menterjemahkan HKM yang mengandungi 81 fasal.
Jika dikatakan HKM itu undang-undang Islam yang telah wujud lama sebelum kedatangan penjajah, adakah negara kita perlu mengekalkan undang-undang itu? Lihat fasa-fasal berikut sebagai contoh:
Fasal 5.1 – Seseorang yang membunuh tanpa setahu raja atau pembesar, dibalas bunuh hukumannya.
Fasal 5.2 – Yang dapat membunuh tanpa setahu raja atas 4 perkara iaitu membunuh madu, membunuh orang angkara, orang yang mencuri yang tiada dapat ditangkap dan membunuh orang yang memberi aib.
Adakah hukum Islam membenarkan:
i. Seorang madu yang cemburu membunuh madunya?
ii. Membunuh seseorang yang dianggap membawa masalah spt samseng?
iii. Membunuh pencuri yang tidak dapat ditangkap?
iv. Membunuh orang yang mendatangkan rasa malu pada kita?
Fasal 11.1 – Seseorang yang mencuri dapat dibunuh walaupun diturutnya hingga dua buah kampung tetapi hendaklah dalam hari yang sama. Jika pencuri itu ramai, yang akan dihukum iaitu dipotong tangannya hanya pencuri yang masuk ke dalam rumah.
Fasal 11.2 – Pencuri yang mencuri hasil tanaman tidak dijatuhkan hukuman potong tangan, tetapi jika ia melakukan pada waktu malam, ia akan dibunuh.
Fasal 12.2 – Hukuman terhadap seorang yang mengadakan persetubuhan dengan perempuan yang ditangkapnya, jika perempuan itu merdeheka, ia boleh kahwin dengan lelaki tersebut dan jika lelaki itu enggan, ia didenda.
Fasal 12.3 – Seseorang yang menuduh seorang zina yang tidak sebenarnya akan dihukum 80 kali rotan atau jika menurut kanun didenda sepuluh tahil. Jika tuduhan itu benar, tidak dihukum. (Ada unsur hukuman jemayah Islam dalam fasal ini iaitu 80 sebatan untuk kesalahan qazaf)
Fasal 14.2 – Tuduhan mengambil isteri orang. Jika menang yang dituduh, yang menuduh dihukum bunuh atau denda. Tetapi jika mengikut hukum Allah, hanya disuruh bertaubat sahaja. (Fasal ini menunjukkan HKM bukanlah undang-undang Islam, berdasarkan frasa “jika mengikut hukum Allah…”)
Sebenarnya banyak lagi fasal lain dalam HKM yang pelik dan asing daripada hukum syariah. Ada juga fasal yang menyebutkan hukum rotan 100 kali untuk orang berzina. Maka dapatan Prof Abu Hassan bahawa HKM adalah campur aduk undang-undang adat, Hindu dan Islam adalah berasas.
Dengan keadaan begitu, adakah sesuai negara kita mengekalkan HKM sebagai undang-undang negara? Jika jawabnya ya kerana ia adalah ‘undang-undang Islam’ yang telah dihapuskan penjajah, ia adalah satu jawapan yang melucukan dan menunjukkan seseorang tidak tahu pun kandungan sebenar HKM.
Maka kedatangan penjajah telah membawa dimensi baru dalam sistem perundangan negara yang lebih teratur dan sistematik.
Walaupun kita benci kepada penjajah kerana mereka orang asing yang menguasai tanah tumpah darah kita, namun takdir Allah s.w.t. dengan kedatangan mereka ada banyak hikmahnya.
Di antaranya penghapusan sistem perhambaan di Singapura pada tahun 1832 adalah di antara usaha awal Stamford Raffles.
Seterusnya pada tahun 1883, sistem perhambaan dihapuskan pula di Perak oleh Residen Hugh Low (1877 – 1889)
Di negeri Terengganu Darul Iman sendiri, sistem perhambaan yang dikenali sebagai Adat Orang Berhutang Tanggung Kepala terus diamalkan hingga tahun 1918. Orang yang mencadangkan kepada Sultan Zainal Abidin III supaya menghapuskan perhambaan bukanlah ulama penasihat istana, tetapi wakil Inggeris yang bertugas di Terengganu ketika itu yang bernama J. L. Humphreys.
Di antara kandungan surat tuan Humphreys bertarikh 11 Jun 1918 kepada Sultan Zainal Abidin III (dalam tulisan jawi),
“Sebermula beta bermaklumkan telah masyhurlah adat orang berhutang tanggung kepala (hamba) ini, ialah satu adat yang sangat tidak bersetujuan dengan hal dunia yang ada pada masa zaman ini dan juga telah sudah dibuangkan beberapa tahun dahulu oleh segala kerajaan Melayu yang bernama seperti Perak, Johor, Kedah dan lainnya.
Oleh kerana itu beberapa aniaya dan siksa dan segala perkara yang hodoh-hodoh dan cemar yang berkenaan dengan adat ini dan tiadalah suka beta menyebutkannya banyak di dalam surat ini, Seri Paduka sahabat beta sedia maklum daripada segenap perkaranya.
Tambahan pula sangatlah menyalahi adat ini dengan hukum syarak di atas beberapa fasal seperti cagaran anak yang diambil oleh tuan hutang pada mengantikan tubuh ibu bapa yang berhutang itu, ataupun seperti dosa besar iaitu riba haram yang terlebih-lebih demikian oleh tuan-tuan hutang yang mengambil faedah daripada pekerjaan hambanya dengan tiada menyusutkan hutangnya. Hal ehwal ini tiadalah beta membincangkan lagi oleh kerana percayalah beta perkara-perkara ini ada semuanya di dalam ingatan Seri Paduka sahabat beta, melainkan inilah sahaja beta bermaklumkan serta dengan beberapa tabik jua adanya.
Adalah beta dengan hormatnya,
[J. L. Humphreys] British Agent Terengganu.” (Jelani Harun, Sultan Zainal Abidin III, hàlaman 257-259)
Jika sebelum ini kita kerap mendengar ceramah Abdul Hadi Awang mengatakan Terengganu telah mengamalkan undang-undang Islam dengan bukti dokumen Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk, beritahulah kepadanya dan orang-orang Pas bahawa dokumen itu hanyalah dokumen perlembagaan negeri yang khusus berkaitan pelantikan raja, menteri-menteri dan ahli mesyuarat raja. Tiada kod undang-undang jenayah Islam dalam dokumen yang mengandungi 53 fasal itu, berdasarkan kajian Prof Dr. Jelani Harun (USM).
Hatta adat memperhambakan orang pun Sultan tak mendapat nasihat daripada para ulama supaya menghapuskannya, sehingga wakil Inggeris datang memberi tazkirah kepada Sultan tentang dosa adat jahiliyah itu, barulah Sultan mendapat kekuatan untuk menghapuskan pada 1918.
Rujukan:
1. Arkib Negara Malaysia, Polemik Sejarah Malaysia (3 jilid), 2008.
2. Prof Dr. Jelani Harun, Zainal Abidin III Sultan Yang Alim dan Adil, 2017, DBP.