Bapa Rahmah Malaysia menghadap Ilahi, ramai rakyat menangis, Menu Rahmah paling diingati. Rata-rata rakyat meluahkan rasa hiba susulan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ke negeri abadi pada malam tadi.
Luahan kesedihan orang ramai berbilang kaum itu termasuk golongan muda dan penuntut pengajian tinggi yang sebahagiannya bukan penyokong Pakatan Harapan (PH) dilihat membanjiri media sosial.
Segenap lapisan rakyat turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Salahuddin ketika berucap dalam Konvensyen Khas Parti Amanah Negara 2023 pada 5 Mac lalu.
Warganet menyifatkan Allahyarham sebagai menteri Kerajaan Perpaduan yang bekerja keras untuk rakyat dalam benar-benar melaksanakan tanggungjawab mengawal harga barangan makanan.
Orang ramai juga menganggap beliau sebagai menteri yang cukup tenang dan komited memastikan inisiatif Payung Rahmah terlaksana demi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.
Jenazah Allahyarham Salahuddin Ayub ketika disembahyangkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, Alor Setar malam tadi.
Untuk rekod, kementerian diterajuinya sedang merangka Dasar Ekonomi Rahmah yang dijangka dapat disiapkan September depan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat golongan B40 dan miskin tegar.
Dasar Ekonomi Rahmah bukan lagi menyantuni rakyat susah menerusi inisiatif bersifat sekali beri atau bermusim sebaliknya memberi tumpuan kepada membangunkan ekonomi rakyat selain memastikan subsidi yang diperuntukkan kerajaan mesti tepat sampai kepada golongan sasar.
Tidak keterlaluan dikatakan, Allahyarham boleh dianggap sebagai Bapa Rahmah Malaysia ditambah dengan keperibadiannya yang budiman serta dihormati kawan serta lawan politik.
Salahuddin pada hari terakhir menyantuni rakyat di Pekan Nat, Alor Setar, 21 Julai lalu.
“Idea ‘Rahmah’ Allahyarham sedikit sebanyak bantu meringankan beban pelajar juga yang nak berjimat makan minum di perantauan. Al-Fatihah.
“Baik orangnya. Buat kerja ikhlas sehingga orang ramai merasa kebaikan tanpa mereka sedar. Semoga Allah merahmati Salahuddin bin Ayub.
“Arwah menteri yang berkarisma, ada aura tersendiri, dihormati kawan dan lawan. Seorang yang baik dan menjalankan tugasnya dengan komited. Innalillahiwainnailaihirojiun.
Allahyarham bertanya khabar dan berbual dengan peniaga serta penduduk tempatan di Pekan Nat, 21 Julai lepas.
“Dalam banyak banyak Menteri PH, saya suka tengok muka dia. Lembut tenang saja. Semestinya orang yang budiman. Moga ditempatkan bersama para solihin dan diterima amal baiknya.
“Arwah sangat baik dan kerja kuat untuk rakyat. Payung Rahmah insiatif arwah sangat dekat di hati rakyat.
“Nak nangis. Sebab inisiatif beliaulah kami anak beranak dapat berjimat makan tengah hari Menu Rahmah.
Salahuddin bersama salah seorang daripada 150 murid asnaf di Batu Buruk, Kuala Terengganu menyampaikan sumbangan zakat menerusi Program Sumbangan Zakat Wakalah oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 19 Julai lalu.
“Terima kasih Datuk Seri meninggalkan legasi yang baik buat rakyat Malaysia – Menu Rahmah. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin Ya Rabbal Alamin.
“Perginya seorang pembela rakyat marhaen. Semoga Allah mengangkat darjatnya bersama roh para syuhada dan solihin,” demikian antara doa dan perkongsian orang ramai di media sosial.