Persaingan sengit dalam dunia restoran telah mendorong sesetengah peniaga mengambil jalan pintas untuk kekal relevan.
Ada juga yang dilaporkan menggunakan ilmu hitam untuk menarik perhatian pelanggan.
Melalui sebuah hantaran di Facebook, seorang pengamal perubatan Islam, Hisyam Jamil, berkongsi pengalamannya melawat sebuah restoran yang didakwa mengamalkan azimat.
Menurut Hisyam, makanan di restoran tersebut dianggap ‘biasa-biasa’ sahaja, tetapi ia sentiasa dipenuhi pengunjung tanpa henti.
“Setiap hari, saya perhatikan ramai yang datang makan di kedai ini, jadi saya pun teruja untuk mencubanya.
Namun, setelah mencuba, saya dapati makanannya tidaklah sesedap mana.
“Ayam yang dihidangkan keras dan kuahnya kurang rasa. Saya hairan bagaimana pelanggan lain boleh nampak begitu berselera sehingga penuh setiap meja di kedai itu,” katanya, penuh kehairanan.
Setelah menyelidik dan memerhatikan keadaan sekeliling, Hisyam menemui sesuatu yang mengejutkan.
“Tiba-tiba mata saya tertancap pada sebuah bingkai yang digantung di dalam kedai itu. Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti potongan ayat al-Quran, tetapi setelah diamati lebih dekat,
ternyata ia adalah ayat al-Quran yang diterbalikkan, diputus-putus, dan ditulis dalam bentuk segi tiga dan petak. Ini jelas menunjukkan penggunaan ilmu hitam, berdasarkan pengalaman saya dalam perubatan Islam.”
“Saya agak terkilan kerana pengusaha kedai tersebut adalah seorang wanita Muslimah yang mengenakan tudung labuh. Saya pun berhenti makan dan terus berdepan dengannya.
“Saya bertanya terus-terang tentang ayat yang digantung itu,” jelas Hisyam.
Wajah peniaga itu berubah pucat apabila ditanya soalan sedemikian.
“Saya kecewa melihat peniaga itu tergagap-gagap menjawab dan senyumnya pun tidak ikhlas. Allahuakbar, kenapa perlu menggunakan cara seperti ini untuk berniaga? Saya pun beritahu dia untuk memikirkan semula adakah ini cara yang baik,” ujar Hisyam.
Hisyam menasihatkan peniaga di luar sana untuk memajukan perniagaan dengan cara yang halal dan tidak melanggar syarak.
“Perbaiki kualiti makanan, perkhidmatan, dan pemasaran. Lihat sahaja pada jenama besar di luar sana yang berjaya tanpa perlu bergantung kepada pelaris.
“Biasanya, mereka yang menggunakan pelaris adalah peniaga kecil yang suka menyalahkan orang lain. Berhentilah mencari kesalahan orang lain dan tidak perlu menggunakan pelaris.”
Hisyam turut memberi amaran bahawa pelaris juga adalah sihir.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menegaskan bahawa amalan pelaris boleh membawa kepada syirik.
“Menggunakan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, atau garam sebagai pelaris adalah syirik. Hindarilah perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam mencari rezeki yang berkat.
“Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik, amalkan ayat-ayat al-Quran, dan mohon kepada Allah untuk dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berkat dalam perniagaan,” jelas Pejabat Mufti.
BACA: Semudah itu Khairul Aming padam amarah netizen, cara KA buat ramai puas hati