Dr. Zulkarnain Lukman
PERKAHWINAN DI THAILAND SEWAKTU PKP
Ramai yang bertanya berkaitan satu video tersebar mengenai perkahwinan seorang kenamaan di Thailand semasa PKP. Tidak dapat dipastikan sama ada pernikahan itu benar-benar berlaku di Thailand atau pasangan itu berada di Malaysia tetapi akad nikah dijalankan oleh jurunikah Thailand kerana kerana rakyat Malaysia masih lagi dihalang untuk rentas sempadan negara kecuali dengan kebenaran khas. Tiada penjelasan terperinci yang diberikan berkaitan hal tersebut.
Forum sebaiknya adalah Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan perkahwinan itu. Justeru, kita sukar untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku.
Walaupun begitu, sebagai latihan mental barangkali kita boleh membuat andaian jika faktanya begini apakah nanti kedudukan perkahwinan seseorang dalam keadaan sedemikian tanpa merujuk kepada kes tersebut secara khusus.
FAKTA HIPOTESIS
– Pengantin lelaki berada di premis di Malaysia.
– Pengantin perempuan berada di premis di Malaysia.
– Pernikahan diakadkan oleh wali hakim Thailand
– Akad Pernikahan dibuat secara sidang video.
– Saksi nikah berada di Malaysia.
Kalau diberikan fakta sebegini kelihatan bahawa 5 rukun nikah itu sudah lengkap. Namun, peguam perlu meyakinkan Mahkamah bahawa kesemua syarat-syarat rukun itu dipenuhi.
Antara syarat pengantin lelaki adalah beragama Islam, bukan mahramnya, tidak dipaksa berkahwin, mengetahui nama isteri, nasab dan diri tubuh pengantin perempuan, lelaki tulen.
Syarat pengantin perempuan pula bukan mahram suami, bukan dalam tempoh iddah, bukan isteri orang, perempuan tulen, Islam atau ahli kitab.
Syarat wali pula mestilah Islam, tidak fasiq, atas kerelaan sendiri menjadi wali, baligh, berakal, merdeka, lelaki, tidak dalam ihram.
Syarat saksi – Islam, baligh, berakal, lelaki, mendengar, melihat, boleh bertutur, mengetahui bahasa lelaki dan wali nikah, adil.
Sighah pula mestilah menggunakan lafaz ijab dan kabul.
Bolehkah wali nasab mewakilkan kepada orang lain untuk menikahkan anaknya sedangkan dia berkemampuan untuk melakukannya sendiri. Mengikut mazhab Syafie adalah harus wali berbuat demikian.
Bagaimanakah pula dengan penggunaan wali hakim?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.
Begitu juga perkahwinan yang dilakukan di luar negara Malaysia seperti kahwin lari di selatan Thailand. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.
Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4136-irsyad-al-fatwa-siri-ke-408-hukum-nikah-menggunakan-wali-hakim-walaupun-ada-wali-nasab
KESIMPULAN
Isu mengikut fakta hipotesis di atas adalah sama ada wali hakim itu benar-benar mempunyai kuasa untuk menikahkan pasangan pengantin ini. Isu lain adalah sama ada akad secara sidang video itu adalah sama seperti akad fizikal. Hal ini tidak pernah dibahaskan dalam kitab lama kerana pada zaman dahulu tiada sistem online. Tetapi isu berwakil wali ada dibahaskan dalam kitab. Tambahan lagi, jika pasangan ini berada di Malaysia tetapi wali hakim itu berada di Thailand, pastinya isu autoriti wali hakim ini menjadi isu penting kerana tidak mungkin wali hakim di bawah autoriti Majlis Agama Islam Thailand berkuasa untuk menikahkan pasangan di Malaysia
Dr. Zulkarnain Lukman, seorang pakar perundangan yang berpengalaman berkhidmat sebagai peguam cara dan peguam syarie.