PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, kini berada di luar negara dan menggesanya kembali segera untuk membantu siasatan kes rasuah yang sedang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengesan keberadaan ahli politik berusia 44 tahun itu.
“Kita mengesyaki beliau berada di luar negara dan akan mengadakan kerjasama dengan Imigresen dalam masa terdekat. Apa yang penting sekarang ialah lokasi beliau dikenal pasti.
“SPRM meminta beliau segera pulang untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, seperti dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan sedang berusaha menjejaki Adam untuk tujuan siasatan, namun tidak memperincikan skop kes yang berkenaan.
Pada 20 Ogos lalu, Adam dilepaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta. Pelepasan tersebut diputuskan Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan menerima representasi yang dikemukakannya mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613).
Sebelum ini, Adam berdepan beberapa tuduhan, termasuk meminta dan menerima suapan berkaitan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta, selain dakwaan menerima RM4.1 juta untuk membantu dua syarikat memperoleh projek di bawah inisiatif Jana Wibawa.
Beliau turut didakwa meminta RM2 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek sama.
Kes-kes tersebut didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.