“Saya separuh sedar, kawan tarik saya keluar” – Mangsa nahas tragik FRU kongsi detik cemas

Oleh ABDULLAH HAMID

“Saya separuh sedar, kawan tarik saya keluar” – Mangsa nahas tragik FRU kongsi detik cemas. Dalam keadaan masih keliru dan separuh sedar, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi hanya mampu mengimbas satu perkara – tangannya ditarik oleh rakan-rakan, menyelamatkannya dari lokasi nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Saya tak ingat semuanya. Hanya ingat kawan-kawan tarik saya keluar… waktu itu saya terdengar jeritan minta tolong,” katanya perlahan, menahan sebak mengenang tragedi Selasa lalu.

Ketika ditemui media hari ini, lelaki berusia 26 tahun itu kelihatan masih lemah namun bersyukur masih diberi peluang untuk hidup.

"Saya separuh sedar, kawan tarik saya keluar" - Mangsa nahas tragik FRU kongsi detik cemas

Hati Remuk Dengar Khabar Pemergian Rakan

Segalanya menjadi lebih menyedihkan apabila Aniq Taufiq diberitahu tentang rakan-rakan seperjuangannya yang terkorban, ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

“Berat nak terima. Semua berlaku terlalu pantas. Sekelip mata saja… kami sama-sama naik lori, tapi tak semua yang turun,” katanya sayu.

Aniq telah dibenarkan keluar hospital dan kini berehat di rumah keluarganya di Arau, Perlis. Beliau mengalami lebam pada paru-paru, kecederaan di beberapa bahagian badan dan sakit di bahagian pinggang, yang menyukarkan pergerakannya.

Tangisan Bayi Jadi Petanda Awal

Lebih menyayat hati, isterinya, Nor Farhana Mohd Razali, 28, turut berkongsi kisah menyentuh hati — anak lelaki mereka yang baru berusia empat bulan, Mikhael Anaqi, menangis tanpa henti pada pagi kejadian.

“Waktu itu saya rasa tak sedap hati. Anak menangis lain macam. Rupa-rupanya, dia ‘rasa’ sesuatu berlaku pada ayahnya,” cerita Nor Farhana yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Aniq.

Beliau hanya mengetahui tentang kemalangan itu kira-kira tiga jam kemudian selepas diberitahu oleh jiran.

Tragedi Hitam: Sembilan Terbunuh, Dua Parah, Tujuh Cedera

Dalam kejadian tragik jam 8.50 pagi Selasa, sebuah lori FRU yang membawa 18 anggota Unit 5 dari Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan lori muatan batu ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami.

Nahas ngeri itu mengorbankan sembilan anggota FRU, dua parah manakala tujuh lagi cedera.

Kesetiaan, Pengorbanan dan Air Mata

Insiden ini bukan sekadar kemalangan. Ia adalah kisah pengorbanan dan keberanian, kisah air mata isteri dan anak-anak yang menunggu kepulangan orang tersayang — yang akhirnya hanya tinggal nama dan kenangan.

Semoga roh para wira negara yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Dan buat yang masih bertarung dengan luka fizikal dan emosi, rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan dan kekuatan buat kalian.

BACA JUGA :

Anak 12 tahun imamkan jenazah ayah, mangsa nahas FRU

Jalur gemilang iringi perjalanan terakhir 9 anggota FRU

Kecoh kemalangan lori batu dan trak FRU, tapi FRU itu apa?