Berdasarkan Akta Pekerja 1955, majikan perlu mematuhi cuti yang telah ditetapkan oleh kerajaan, termasuk memberikan cuti rehat
sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Namun, terdapat majikan yang tidak mengikut peraturan ini, menyebabkan ramai pekerja mengambil cuti sakit (MC).
Lebih mengejutkan, terdapat satu golongan penjawat awam yang sering memalsukan sijil cuti sakit (MC)
untuk mendapatkan cuti tambahan, iaitu golongan guru! Benarkah?
Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), kebanyakan penjawat awam yang menipu dengan mengemukakan MC palsu
adalah mereka yang gagal mendapatkan cuti sakit daripada klinik atau hospital. CUEPACS mendedahkan bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan MC.
Selain itu, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi. Data menunjukkan bahawa setiap tahun kira-kira 1% hingga 2% daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti palsu dan menggunakan EL semata-mata untuk melanjutkan tempoh bercuti.
“Selalunya selepas cuti panjang, akan ada penjawat awam yang memberikan cuti sakit palsu termasuk memohon cuti kecemasan. Kes ini lebih ramai berlaku dalam kalangan guru.
“Mereka (guru) tidak mempunyai banyak cuti tahunan seperti penjawat awam lain, sebaliknya mereka bergantung kepada cuti persekolahan.
“Jadi, ada yang tidak bertanggungjawab hingga memberikan cuti sakit palsu semata-mata mahu menyambung percutian,” kata sumber yang dipetik daripada Kosmo.
Tambah CUEPACS, mana-mana penjawat awam yang ditangkap kerana menipu dalam penggunaan kemudahan cuti tersebut akan berdepan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. Namun, masih ramai yang melakukan perkara ini walaupun menyedari akibat yang mungkin diterima, mungkin kerana menganggap ia tidak serius.
Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar Akta Pekerja 1955 dan juga Peraturan 4(2)(f) dan (g) dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Susulan itu, CUEPACS menggesa setiap kementerian dan jabatan terlibat untuk memantau perbuatan ini bagi mengelakkan ia menjadi semakin serius dalam kalangan penjawat awam. Jika masih berleluasa, bagaimana rakyat boleh percaya dengan kredibiliti penjawat awam?
BACA: Akhirnya terjawab pemilik suara pembaca doa selepas azan RTM