Dua angkasawan terlatih NASA yang ditugaskan untuk menguji kapal angkasa terbaru Boeing, Starliner, terpaksa kekal
Di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mengorbit Bumi kira-kira 400km setelah kapal angkasa mereka mengalami masalah teknikal.
Dua angkasawan tersebut, Suni Williams dan Butch Wilmore, pada awalnya dijadualkan untuk pulang ke Bumi pada 13 Jun
selepas kapsul Starliner mereka berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral, Florida pada 5 Jun lalu.
Namun, Starliner mengalami beberapa masalah, malah sebelum ia berlepas lagi. Satu cubaan perlepasan telah dibatalkan pada 1 Jun, beberapa minit sebelum berlepas, disebabkan masalah pada sistem kawalan komputer.
Semasa perjalanan 25 jam ke ISS, kapal angkasa ini mengalami beberapa kebocoran helium dan pendorong yang tidak berfungsi. Apabila Starliner tiba di ISS pada 6 Jun dan cuba untuk berlabuh, empat dari 28 pendorong gagal berfungsi, menyebabkan ketibaan kapal angkasa tersebut tergendala.
Menurut jurucakap Boeing, empat dari lima pendorong yang sebelumnya tidak berfungsi kini telah pulih, tetapi satu dari 27 pendorong masih lagi tidak berfungsi.
Siapa angkasawan yang terjebak di angkasa?
Sunita “Suni” Williams merupakan angkasawan Amerika dan Pegawai Tentera Laut yang telah menyertai NASA pada tahun 1998. Suni memulakan penerbangan angkasa pertamanya ke ISS untuk menyelenggara panel tatasusunan suria di Space Shuttle Discovery pada Disember 2006 ketika beliau masih merupakan seorang jurutera pesawat.
Misi keduanya adalah pada Mei 2012 sebagai jurutera pesawat untuk Ekspedisi 32 ke ISS, di mana beliau menguji sistem penyebaran mikrosatelit baru. Setelah berjaya dalam beberapa misi lain, Suni terpilih sebagai salah seorang angkasawan pertama untuk dilatih dalam Program Kru Komersial NASA pada tahun 2015.
Setakat ini, Suni telah menghabiskan 322 hari di angkasa dan terkenal dengan misinya di ISS di mana beliau mencipta rekod penerbangan angkasa lepas paling lama oleh seorang wanita, iaitu selama 195 hari. Beliau juga memegang rekod sebanyak tujuh perjalanan di angkasa lepas, yang kemudiannya dipecahkan oleh Peggy Whitson pada tahun 2017 dengan 10 perjalanan.
Suni turut menerima beberapa anugerah termasuk Legion of Merit, Navy Commendation Medal, Navy and Marine Corps Achievement Medal, dan Humanitarian Service Medal.
Barry “Butch” Wilmore pula terbang ke angkasa buat pertama kalinya menggunakan Kapal Angkasa Atlantis pada November 2009 untuk menghantar alatan ke ISS dan berkhidmat sebagai komander ISS dari November 2014 hingga Mac 2015.
Butch telah berkhidmat sebagai jurutera pesawat untuk Ekspedisi 41 pada Mei 2014, mengkaji kesan tubuh badan dan pertumbuhan tumbuhan tanpa graviti. Beliau juga merupakan komander Ekspedisi 42 bagi mengkaji kesan angkasa terhadap sel imun dan memerhatikan pencemaran pada atmosfera bumi pada tahun 2014.
Apa tindakan Boeing terhadap angkasawan yang terjebak di angkasa?
NASA dan Boeing sedang memanfaatkan masa dua angkasawan ini untuk meneliti masalah pendorong yang mengganggu kapal angkasa dari berlabuh di ISS pada 6 Jun lalu.
Menurut NASA, kapal angkasa tersebut boleh berada di ISS selama lebih 45 hari atau maksimum 72 hari menggunakan sistem sandaran.
NASA sebelum ini menyasarkan bahawa dua angkasawan ini akan pulang pada awal Julai kerana masa tambahan diperlukan untuk menyiasat isu yang berlaku. Namun sehingga kini, NASA belum menetapkan tarikh rasmi untuk membawa kedua-dua angkasawan ini pulang ke Bumi.
Ketidakpastian ini menimbulkan kebimbangan mengenai kesihatan dua angkasawan tersebut, termasuk risiko kehilangan ketumpatan tulang dan jisim otot.
BACA: Baru tahu rupanya boleh tuntut ganti rugi cermin kereta kena batu orang mesin rumput