Rata-rata kereta masa kini sudah tidak lagi menggunakan sistem kunci batang untuk menghidupkan enjin, sebaliknya mereka menggunakan butang elektronik, iaitu push start button.
Namun dalam kehidupan harian yang sibuk, kebanyakan pemilik kereta sering kali tergesa-gesa dan mahu kereta segera berjalan.
Melalui perkongsian di laman TikTok oleh Abang Loan, dia memberi amaran mengenai kebiasaan ini kerana ia boleh memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Abang Loan menjelaskan, “Kereta itu ibarat manusia yang baru bangun pagi, terus dicubit badannya untuk dikerah berlari. Lama-lama, orang tu sakit la.”
“Ramai yang macam ni. Buka pintu, masuk kereta, tekan butang, terus start enjin,” ujarnya memberi contoh.
Dia juga berkongsi langkah-langkah yang sepatutnya diambil ketika menghidupkan enjin kereta pada waktu pagi.
“Pertama, tekan butang push start tanpa tekan brek. Kemudian, tekan butang push start lagi untuk kali kedua. Sekarang, biarkan paparan panel elektronik menyala terlebih dahulu.
“Tunggu sehingga paparan panel elektronik itu padam, baru tekan brek, dan kemudian tekan butang push start untuk kali ketiga untuk menghidupkan enjin.
“Itulah cara yang betul. Tujuannya adalah untuk memastikan kereta siap sepenuhnya untuk dihidupkan,” jelas Abang Loan.
Abang Loan juga menyatakan bahawa kaedah yang sama boleh diterapkan untuk kereta yang menggunakan sistem kunci batang.
“Kalau kalian perasan, cara yang serupa juga digunakan pada zaman dulu ketika kita guna kereta dengan kunci. Masukkan kunci ke dalam soket, putar sekali, putar lagi sekali, dan kemudian putar kali ketiga baru kereta akan hidup,” katanya.
Reaksi dari komuniti dalam ruang komen adalah positif dengan banyak yang berkongsi pengalaman mereka sendiri.
“Benda ni kelihatan remeh, dan ada yang kata tidak perlu sebab teknologi sudah maju, tapi saya amalkan tip ini selama lima tahun. Alhamdulillah, kereta saya masih lancar sampai sekarang dan tidak pernah meragam.”
“Setiap orang punya pilihan sendiri, saya sayang kereta saya dan mahu pengalaman memandu tetap seperti baru beli dulu,” kata seorang pelayar memberi pandangan.
BACA: Bukan saja-saja pramugari wajib bersanggul ketika penerbangan, ini sebab sebenar ramai tak tahu