Siapa kata maruah wanita di negara maju dihormati, 91% wanita di Amerika mengaku terima mesej jelek.
Sebanyak 91 peratus wanita di Amerika Syarikat (AS) mengakui ada menerima mesej berbaur seksual yang tidak sesuai, sekurang-kurangnya sekali melalui platform rangkaian sosial yang biasanya untuk membincangkan isu-isu profesional dan kerjaya.
Forbes dalam laporannya yang memetik kaji selidik LinkedIn terhadap pengguna wanita di AS, mendapati pengguna platform itu mengakui menerima mesej berbaur lucah sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Kaji selidik membabitkan 1,049 pengguna LinkedIn wanita dari AS yang log masuk ke platform rangkaian sosial, mendapati
91 peratus wanita mengatakan mereka menerima mesej romantis atau berunsur seksual yang tidak sesuai sekurang-kurangnya sekali.
Hampir suku daripada responden mengatakan, mesej itu muncul dalam akaun mereka setiap hari atau bersilih ganti. ‘Passport Photo Online’ melengkapkan tinjauan dan majoriti wanita yang disoal berusia antara 27 dan 42 tahun.
Antara mesej seksual tidak diingini yang diterima adalah meminta untuk bertemu janji, maklumat peribadi yang intim atau mengandungi sanjungan yang tidak diminta.
Tinjauan itu hanya membabitkan wanita, justeru tiada maklumat sama ada lelaki turut berdepan situasi sama.
Walaupun LinkedIn mengingatkan pengguna supaya hanya berhubung dengan orang yang mereka kenali secara peribadi, ramai profesional berhubung dengan orang yang tidak dikenali bagi memperluas rangkaian mereka.
Selepas dihubungkan, platform itu membenarkan mesej dihantar secara percuma, malah mereka yang berhati-hati juga boleh menjadi mangsa kerana LinkedIn membolehkan pengguna memasukkan mesej dengan jemputan untuk berhubung.
Mereka yang membayar untuk LinkedIn Premium boleh menghantar jumlah mesej yang terhad setiap bulan kepada orang yang tidak dihubungkan.
“Tingkah laku seperti ini tidak sesuai dan tidak dibenarkan di LinkedIn. Mesej romantis dan gangguan yang tidak diingini melanggar peraturan kami dan dasar kami dengan jelas menyatakan jenis kandungan yang tidak dibenarkan di LinkedIn,” kata jurucakap LinkedIn melalui emel sebagai maklum balas kepada tinjauan berkenaan.
Katanya, platform itu sudah menambah ciri-ciri yang membantu menghentikan gangguan sebelum pengguna melihatnya, selain menggalakkan pengguna melaporkan kandungan yang tidak sesuai.
LinkedIn juga cuba memudahkan pengguna untuk mengenal pasti dan melaporkan penyalahgunaan platform itu melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kira-kira 80 peratus responden berkata, mereka melaporkan pengguna yang menghantar mesej berbaur seksual atau tidak sesuai.
Tidak terhad di LinkedIn saja, golongan wanita kerap berdepan masalah sama di media sosial lain.
BBC melaporkan, pempengaruh media sosial terkemuka di Instagram diganggu setiap hari oleh orang yang tidak dikenali dengan tawaran ribuan ringgit sebagai balasan untuk seks atau temu janji.
Bagaimanapun, perkara itu dilihat lebih teruk di LinkedIn kerana platform itu memfokuskan kepada identiti profesional pengguna.
Laporan percintaan di LinkedIn bukan perkara baharu. Terdapat satu kisah dalam Glamour bertajuk, “Tentunya Orang Menggunakan LinkedIn sebagai Laman Temujanji”, yang mana seorang blogger menulis mengenai bagaimana dia bertemu suaminya di LinkedIn.
Ada yang membandingkan platform rangkaian profesional itu dengan Tinder.
Isu yang timbul adalah bagaimana ia memberi kesan kepada perasaan pengguna, terutama di platform kerja. Bagi mereka yang tidak mencari cinta di LinkedIn, yang kemungkinan membabitkan kebanyakan pengguna, jemputan tanpa diminta untuk temu janji boleh membuatkan wanita berasa terhina, dicabul dan dijadikan objek.
Terima mesej seksual
Berdasarkan kajian, wanita biasanya mula menerima perhatian seksual yang tidak diingini dalam talian daripada lelaki yang tidak dikenali pada usia yang sangat muda, iaitu antara 12 dan 14 tahun.
Ketika berada di kolej, 80 peratus wanita menerima mesej seksual yang tidak sesuai dalam talian. Wanita universiti menggambarkan perasaan jijik, ketakutan, marah dan emosi negatif lain sebagai tindak balas kepada jenis gangguan oleh orang yang tidak dikenali ini.
Seperti pelajar universiti, wanita dalam tinjauan mengenai mesej di LinkedIn juga melaporkan mereka berasa dicabul, keliru dan bimbang selepas menerima mesej seumpama itu tanpa diminta di platform berkenaan, malah ada yang menghentikan atau mengubah suai penggunaan LinkedIn.
Ketidakselesaan dengan mesej seperti itu, mungkin sebahagiannya menjelaskan mengapa LinkedIn mempunyai ketidakseimbangan jantina dalam kalangan penggunanya, yang mana 57 peratus ialah lelaki, berbanding 43 peratus wanita.
Mesej dalam talian yang tidak sesuai mungkin menjadi gangguan yang tidak diingini, dilihat merendah-rendahkan dan sukar dielakkan, walaupun dalam persekitaran profesional.
Mereka yang menerima mesej seperti ini harus melaporkan penghantarnya kepada platform terbabit bagi menjadikan persekitaran dalam talian lebih mesra untuk semua.