Dari dunia artis ke politik, ini alasan penyanyi rap ‘hoi ya hoi’ buat ramai menyokong. Jika dibandingkan populariti dan pengalamannya dalam industri seni dengan landskap politik, nama Altimet mungkin lebih ‘sinonim’ sebagai penyanyi atau pencipta lagu.
Tetapi selepas lebih tiga tahun bergiat aktif dalam politik, pelantun lagu ‘Kalau Aku Kaya’ itu diberikan kepercayaan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Altimet meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan di Lembah Jaya
Tidak sekadar berharap kepada pengaruhnya dalam dunia seni, Altimet sebaliknya meletakkan lebih 100 peratus komitmen bagi mendekati pengundi, yang hampir 40 peratus adalah golongan B40 di Lembah Jaya.
“Seperti pengalaman saya dalam industri muzik, sesiapa yang hanya bergantung kepada populariti sahaja adalah orang yang kurang bijak.
“Betul populariti kelebihan kita (tetapi) setiap orang kalau ada kelebihan, dia ada kelemahannya dan kekurangan.
“Kita kena usaha minimumkan kekurangan itu, dan pada masa sama menggunakan kelebihan itu dengan sebaik mungkin,” katanya.
Pemilik nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 44, menambah fokusnya di DUN Lembah Jaya adalah isu kekeluargaan, belia serta kelestarian yang meliputi infrastruktur, ekonomi serta peluang pekerjaan.
“Saya mengambil pendekatan dan pengalaman saya dalam industri muzik adalah menulis lagu. Apabila kita nak cari lagu untuk rakyat, kita kena turun ke rakyat dan mendengar.
“Selama tiga tahun ini, itu kerja saya. Mungkin bila orang lalu, orang nampak saya dekat warung dan nampak dia (Altimet) tak buat kerja, (tetapi) tak. Itu sebenarnya kerja… saya mengumpul maklumat, melihat aspirasi, apa kerisauan mereka, dan sebagainya.
“…Saya rasa, dari segi maklumat itu kita ada maklumat,” ujarnya lagi.
Berbeza dengan beberapa selebriti yang pernah ‘gagal’ ketika mencuba nasib dalam arena politik, Ketua Cabang PKR Ampang itu berkata, dia yakin mampu mendapatkan kepercayaan penduduk di Lembah Jaya.
Keyakinan itu, antaranya bersandarkan kepada prestasi yang ditunjukkan setakat ini termasuk hampir 10 bulan berkhidmat sebagai penyelaras di DUN Lembah Jaya.
Dalam masa sama, dia yang sudah lebih 13 tahun bermastautin di Ampang menyifatkan pencalonannya di kerusi berkenaan bukan sebagai misi ‘balas dendam’ selepas penyandang sebelum ini meninggalkan PKR dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Kita di Lembah Jaya ini tak nak pandang belakang, (tetapi) kita nak pandang ke depan. Saya bukan seorang yang suka pandang ke belakang.
“Lebih baik kita merancang Lembah Jaya yang berjaya bersama untuk semua lapisan masyarakat,” kata Altimet.
Altimet berdepan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sharifah.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Lembah Jaya dimenangi oleh Haniza Mohamed Talha atas tiket PKR dengan majoriti 14,790 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas serta Parti Rakyat Malaysia