Realtime website trackingweb stats

15 tahun menyepi, Waheeda Wassini umum sudah sedia muncul kembali

Oleh ABDULLAH HAMID

Selepas 15 tahun menjauhkan diri dari industri muzik, penyanyi Waheeda mengumumkan bahawa dia akan kembali semula ke dalam industri muzik Malaysia.

Waheeda, atau nama sebenarnya, Norwahidah Abdul Wahab, yang berusia 45 tahun, menyatakan bahawa selain daripada tampil dengan lagu terbarunya, dia juga sedang merancang beberapa projek di mana dia akan menjadi seorang komposer, pemuzik, dan pencerita.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu “Wassini” ini mendedahkan bahawa selama tempoh masa ‘berehat’ selama 15 tahun tersebut, dia telah menghabiskan banyak waktu dengan mempelajari pelbagai alat muzik seperti biola dan meningkatkan kemahiran bermain piano.

“Ini adalah antara instrumen penting yang sentiasa menjadi penyeri dalam lagu yang disulam dnegan rentak dan bunyi moden,” katanya menerusi satu kenyataan kepada mStar pada Rabu.

15 tahun menyepi, Waheeda Wassini umum sudah sedia muncul kembali

Waheeda berkata bahawa pada tahun depan, dia akan melancarkan lagu baru yang menggabungkan kerjasama dengan beberapa penyanyi terbaik Malaysia.

Peminat yang menantikan kemunculannya boleh mendengarkan lagu baru ini yang akan dilancarkan pada awal tahun 2024.

“Saya kini sedang berbincang untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi yang berada dalam carta… Peminat boleh menjangkakan dapat mendengar lagu terbaru itu awal tahun depan,” ujarnya.

Bagi memastikan kerjayanya berjalan dengan lancar, Waheeda kini mendapat pengurusan dari Skyson PR dan berharap projek kemunculan beliau akan disambut baik oleh peminat.

Waheeda memulakan kerjaya beliau pada tahun 2002 dengan lagu duet bersama Yasin Sulaiman sebelum mencipta kehebatan dengan lagu “Wassini” pada tahun 2003.

Lagu ini tidak hanya meningkatkan populariti Waheeda tetapi juga memenangi kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu (AJL) 2003.

Penyanyi ini kemudian menghasilkan album pertamanya, “Binafsha,” pada tahun 2004 yang telah mendapat pencalonan untuk Artis Baru Terbaik dan Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik.

Waheeda juga mewakili Malaysia di Festival Voice of Asia di Kazakhstan pada tahun 2004 dan berjaya menduduki tempat ketiga.

Namun, pada tahun 2009, Waheeda memutuskan untuk berehat sebentar dari kerjayanya dalam industri muzik selepas berkahwin dengan penyanyi dan penceramah terkenal, Akhil Hayy.

Baca:

‘Cucuk’ duit rupanya patut kereta lama di petak isi petrol, yang ada perangai begini wajib baca

Yang masuk restoran dah kurang, pesanan ‘online’ pun sama, ‘rider’ akui boikot Israel bukan main-main

Proton sedan S70 dilancar, tempahan bermula 1 November