KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Februari ini untuk mendengar permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan pembebasan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Peguam bela Zahid, Hisyam Teh Pok Teik mengesahkan tarikh tersebut, sambil memaklumkan bahawa pendengaran asal yang dijadualkan hari ini ditangguhkan selepas pihak pendakwaan memohon tambahan masa untuk menjawab hujahan pembelaan.
Menurut Hisyam, permohonan itu difailkan pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, susulan keputusan Peguam Negara pada 8 Januari yang mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action – NFA).
Beliau berkata, keadaan di mana anak guamnya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sejak September 2023 mewujudkan ketidakadilan kerana pertuduhan tersebut terus tergantung tanpa penyelesaian muktamad.
“Tidak adil untuk seseorang individu hidup dalam ketidakpastian berterusan. Beliau berhak mendapatkan kepastian dan keadilan,” katanya.
Zahid sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan pada 4 September 2023 selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat untuk memberhentikan prosiding.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Badius Zaman Ahmad memohon penangguhan kerana pihaknya hanya menerima permohonan pembelaan pada Jumaat lalu dan memerlukan masa untuk menyediakan afidavit jawapan.
Hakim Datuk Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya 13 Februari, sebelum menetapkan tarikh pendengaran pada 24 Februari.
Difahamkan, Ahmad Zahid dijangka hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menjelaskan keputusan NFA dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap enam representasi serta bukti dan keterangan baharu yang dikemukakan oleh Zahid.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan itu bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan merit undang-undang dan fakta kes.