PUTRAJAYA: Platform media sosial X mengesahkan bahawa fungsi penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok kini tertakluk kepada kawalan ketat dan tidak lagi boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan berunsur lucah, seksual atau sumbang.
Pengesahan itu dimaklumkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil oleh wakil platform X bagi rantau Asia Pasifik dalam satu pertemuan selama kira-kira sejam yang berlangsung di Menara Komunikasi, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, langkah kawal selia berkenaan memastikan pengguna tidak lagi dapat memanipulasi imej atau video bagi menghasilkan kandungan tidak sopan, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pihak X telah memberi jaminan bahawa ciri berkenaan kini tidak boleh lagi disalahgunakan. Dalam mesyuarat itu, turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.
Beliau berkata penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan akan dikemukakan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat esok.
Fahmi turut menyambut baik kehadiran wakil platform X ke Putrajaya bagi membincangkan isu terbabit secara bersemuka, yang disifatkan sebagai satu perkembangan positif dalam usaha memastikan pematuhan undang-undang tempatan.
Dalam pertemuan sama, pihak X juga menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan MCMC, khususnya dalam pelaksanaan Kempen Internet Selamat bagi menjadikan platform itu lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.
“Saya melihat komitmen jelas daripada pengurusan X untuk memastikan platform mereka lebih selamat, selain bekerjasama rapat dengan kementerian dan MCMC,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata statistik terkini MCMC menunjukkan kadar permohonan penurunan kandungan di platform X berada sekitar 50 peratus setakat ini, yang dianggap sebagai tahap sederhana berbanding platform lain.
“Walaupun jumlah itu tidak terlalu tinggi, ia tidak bermakna tiada isu. Namun, ini tetap satu petunjuk ke arah perkembangan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut mengarahkan pasukan kementeriannya untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dengan pihak X bagi menjamin persekitaran Internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan institusi keluarga.
Pada 11 Januari lalu, MCMC melaksanakan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia selepas mendapati sistem tersebut berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah dan seksual eksplisit.
Susulan itu, Fahmi sebelum ini memaklumkan bahawa MCMC sedang meneliti kemungkinan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan Grok mematuhi peruntukan undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.