Wartawan dedah taktik licik pendatang asing nak ‘survive’ di Malaysia, nasihat jaga isteri dan anak-anak perempuan masing-masing
Ekonomi negara pada masa kini tidak hanya dipengaruhi oleh pengusaha-pengusaha tempatan, tetapi juga melibatkan golongan pendatang asing yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
Baru-baru ini, isu mengenai penduduk asing yang membuka kedai runcit dan menumpuk barangan, termasuk bahan mentah seperti ikan dan sayur, di laluan pejalan kaki telah menjadi topik hangat di beberapa negeri, termasuk di sekitar Lembah Klang.
Keadaan ini telah menyebabkan banyak penduduk tempatan berasa kurang selesa. Ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan, tetapi juga mencipta persekitaran yang berbau kurang menyenangkan dan kotor.
Yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana golongan ini dapat menyewa premis di bangunan secara terbuka untuk menjalankan perniagaan, dan jumlah mereka semakin meningkat sehingga terdapat perkampungan kecil seperti Dhaka di Melaka.
Wartawan Kosmo Online telah berkesempatan untuk berbual dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang kelihatan seperti pemilik kedai runcit di Melaka. Lelaki asing ini menjelaskan bahawa dia hanyalah seorang pekerja, dan kedai tersebut sebenarnya dimiliki oleh seorang warganegara tempatan yang telah berkahwin dengannya.
Di dinding premis tersebut, terdapat juga dokumen yang menunjukkan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama seorang wanita.
Mengulas perkara ini, Datuk Seri Rosli Sulaiman selaku Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, menyatakan bahawa taktik berkahwin dengan wanita tempatan merupakan sebahagian daripada rancangan lelaki asing untuk mendapatkan kedudukan yang selesa di negara ini.
“Mereka merancang untuk mencari pasangan tempatan untuk terlibat dalam sektor perniagaan. Mereka juga merancang untuk menarik orang Asli. Ini adalah cara mudah bagi mereka untuk mendapatkan premis perniagaan dengan menggunakan nama pasangan mereka untuk memohon lesen perniagaan dan menggunakan kemudahan yang disediakan untuk penduduk tempatan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa situasi ini semakin menjadi kronik kerana kurangnya penguatkuasaan oleh agensi yang berkaitan. Malah, adalah menjadi satu kesalahan jika premis tersebut diuruskan oleh pendatang asing, walaupun pemiliknya adalah penduduk tempatan.
“Agensi penguatkuasaan perlu memastikan bahawa yang menjaga kedai adalah pemilik lesen, bukan suami (pendatang asing). Kita perlu mengawal situasi ini, jika tidak, peniaga tempatan akan menghadapi kesulitan untuk mencari rezeki. Namun, saya diberitahu bahawa kerajaan sehingga kini tidak mempunyai undang-undang yang boleh digunakan terhadap peniaga asing ini. Mereka hanya boleh menyita barangan, tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah. Perlu ada kajian semula mengenai perkara ini,” katanya.
Rosli menambah bahawa pada masa ini, peniaga tempatan tidak hanya bersaing dengan pendatang asing, tetapi juga negara mengalami kerugian kerana wang yang dicurahkan dalam sektor ini tidak kekal di dalam negara.
“Lebih daripada 90 peratus daripada 31,000 peniaga menggunakan sekurang-kurangnya dua pembantu asing dan membayar gaji minimum sekitar RM100 sehari kepada mereka, contohnya kepada tukang masak. Gaji ini kemudian dihantar ke negara asal mereka, menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan cukai. Di dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil seperti sekarang, kecairan wang dalam negara sangat penting,” katanya.
Sumber: Kosmo Online
Baca:
Berpantang maut sebelum ajal, bayi setahun bingung keluar dari lori remuk cari ibunya
Bangkai makhluk asing didakwa berusia 1,000 tahun jadi bahan polemik di Mexico
Elok puji staf pejabat pos tapi hujung coretan pula mengundang berang kaum Hawa