Walau untung besar, Microsoft tetap buang 6000 pekerja. Gergasi teknologi dunia, Microsoft, mengumumkan akan memberhentikan hampir 3 peratus daripada jumlah tenaga kerja globalnya, dalam satu langkah mengejut yang turut mencerminkan gelombang pemberhentian besar-besaran yang sedang melanda industri teknologi dunia.
Menurut laporan United Press International yang dipetik oleh saluran berita CNBC News, langkah ini bakal menjejaskan sekitar 6,000 pekerja dari pelbagai jabatan dan lokasi.
“Kami sedang melakukan penyesuaian organisasi penting untuk memastikan Microsoft kekal tangkas dan bersaing dalam pasaran yang sentiasa berubah,” jelas jurucakap syarikat itu dalam kenyataan rasmi.
Walau Untung Besar, Pekerja Tetap Jadi Mangsa
Ironinya, keputusan ini hadir hanya sebulan selepas Microsoft mencatat keuntungan suku tahunan melebihi AS$25 bilion (RM107 bilion) — jauh mengatasi jangkaan pasaran.
Sehingga Jun 2024, Microsoft mempunyai 228,000 kakitangan di seluruh dunia, termasuk 126,000 orang di Amerika Syarikat sahaja. Pemberhentian ini menjadikannya yang terbesar sejak tahun 2023, ketika 10,000 pekerja turut kehilangan kerja.
Bukan Isu Prestasi, Tapi Strategi Jangka Panjang
Jurucakap Microsoft menegaskan bahawa pemberhentian kali ini bukan disebabkan prestasi pekerja, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula yang lebih besar.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan Microsoft, Amy Hood, syarikat kini memberi tumpuan untuk membina pasukan yang lebih dinamik, cekap dan berprestasi tinggi, sambil mengurangkan lapisan pengurusan yang dilihat melambatkan operasi.
Trend Global: Industri Teknologi Dalam Fasa ‘Pembersihan’
Microsoft bukanlah satu-satunya syarikat yang mengambil langkah ini. Menurut data dari laman Layoffs.fyi, lebih 60,000 pekerja teknologi dari 127 syarikat telah kehilangan pekerjaan setakat tahun ini sahaja.
Langkah-langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang penyesuaian besar-besaran yang melanda syarikat-syarikat teknologi global, ketika mereka berdepan cabaran pasaran, automasi, dan perubahan landskap perniagaan digital.
BACA JUGA :
Individu menyesal berhenti kerja, guna RM10,000 simpanan untuk Forex tapi ‘seret’
Meter minyak tak tepat punca kereta buatan China berhenti mengejut tengah highway