Dr. Zulqarnain Lukman
POLIGAMI
Dalam karier sebagai seorang peguam syarie, tajuk ‘Poligami’ ini bukanlah satu tajuk yang asing. Malah, rasanya waktu dalam kuliah undang-undang sewaktu mempelajari Undang-Undang Keluarga Islam tajuk ini amat digemari oleh pelajar undang-undang.
Pastinya ramai pelajar undang-undang masih ingat kes Aisyah lwn Wan Yusof berkaitan permohonan kebenaran berpoligami. Hakikatnya, jarang kes berkaitan permohonan kebenaran berpoligami ini berakhir dengan penolakan oleh Mahkamah jika pihak-pihak benar-benar ikhlas dalam berpoligami.
Isunya, kenapakah masih ramai yang tidak melalui proses yang betul untuk berpoligami. Banyak alasan yang diberikan oleh pihak-pihak. Ada pihak suami yang memberikan alasan kerana khuatir keluarga pertamanya akan porak-poranda jika ianya diketahui. Ada yang mengatakan kerana kesukaran untuk turun naik mahkamah. Bagi pihak isteri kedua (ketiga atau keempat) ada yang memberikan alasan bahawa asalkan halal dan ada yang sudah terlanjur dan ingin menghalalkan hubungan yang haram sebelum itu.
Apa pun jika pihak-pihak itu sudah bernikah tanpa kebenaran mahkamah sama ada upacara akad nikah itu dibuat di dalam Malaysia atau di luar Malaysia maka ianya perlu disahkan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.
Natijahnya, jika ianya tidak disahkan maka perkahwinan itu tidak dapat didaftarkan di Malaysia dan berlaku pelbagai kesukaran kemudian hari kepada pasangan khasnya kepada pihak wanita. Kesukaran itu boleh terjadi jika si suami meninggal dunia dan mempunyai harta untuk difaraidkan. Ada juga yang menghadapi kesukaran sewaktu ingin mengisi borang pencen dan ada yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar persekolahan anak. Selain itu, risiko lain adalah untuk membuat tuntutan jika berlaku perceraian seperti tuntutan nafkah iddah, mutaah dan nafkah tertunggak.
Di Malaysia, dalam isu poligami ini ada dua keadaan iaitu sama ada permohonan untuk kebenaran berpoligami atau permohonan untuk mendaftarkan pernikahan poligami. Kedua-duanya ini adalah dua jenis permohonan yang berbeza.
Dalam permohonan kebenaran berpoligami maka perkara yang akan ditentukan adalah sama ada pengantin lelaki itu layak dan patut berpoligami. Dalam kes permohonan pendaftaran pernikahan (poligami atau bukan poligami), isu di hadapan Mahkamah adalah sama ada upacara akad nikah itu memenuhi 5 rukun nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi dan akad ijab kabul.
Perkara yang sulit untuk dibuktikan dalam permohonan pendaftaran pernikahan ini adalah biasanya isu wali. Pasangan yang bernikah di Thailand misalnya perlu memastikan bahawa wali hakim yang menikahkannya itu benar-benar kadi atau jurunikah yang mendapat tauliah. Jika jurunikah itu tiada tauliah maka besar kemungkinan nikah itu tidak sah.
Selain itu, hakim syarie juga selalu bertanyakan di manakah wali pengantin perempuan itu berada sewaktu akad nikah dibuat. Ini kerana jika wali itu berada dalam jarak yang kurang daripada jarak musafir maka kemungkinan besar nikah itu tidak sah menurut mazhab syafie. Pernah berlaku kes pernikahan di Thailand itu tidak sah kerana pada masa akad nikah dibuat itu walinya juga turut berada di negara berkenaan untuk melancong.
Masalah besar di Malaysia ini adalah kerana wujudnya sindiket scammer yang membuat bisnes untuk menikahkan orang di sempadan Thailand ini. Sindiket ini menjanjikan kepada pasangan itu untuk mengatur pernikahan dari awal hingga akhir. Dari upacara akad nikah sehinggalah pasangan itu mendapat sijil nikah Thailand dan sehinggalah pernikahan itu disahkan di Mahkamah. Sindiket ini pula bukanlah dipunyai oleh kartel dadah atau mafia.
Kebanyakan kaki-kaki sindiket ini jenis berketayap putih, lebai, ustaz dan imam tetapi mengambil upah dengan menipu serta menjadi scammer. Kita pun hairan kenapalah sindiket scammer ini tidak dibanteras sedangkan membanteras sindiket scammer ini tidaklah sesukar untuk meminda RUU 355. Mungkin pihak berkuasa agama perlu menubuhkan skuad khas dengan kerjasama PDRM dan imigresen jika mereka benar-benar serius untuk membanteras sindiket scammer ini.
Ramai yang tertipu dengan sindiket ini yang mana upacara akad nikah itu memang benar dibuat dan sijil nikah itu diberikan. Rupa-rupanya wali hakim atau kadi nikah itu tidak bertauliah dan sijil nikah itu sebenarnya sijil nikah palsu. Janganlah tertipu melihatkan sijil itu mempunyai cop meterai merah sekalipun kerana harga cop merah itu hanya bernilai beberapa baht sahaja.
Akhirnya ramai yang membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan pernikahan mereka bertahun-tahun sehinggalah keadaan benar-benar mendesak buat mereka. Justeru, sebelum bernikah itu buatlah keputusan yang tepat. Kajilah dengan teliti aspek perundangan dan implikasi yang bersabit dengannya.
Dr. Zulqarnain Lukman |
Pakar perlembagaan, peguam syarie, peguam bela dan peguam cara.