KUALA LUMPUR, 12 Nov — Usaha kerajaan dalam memperkukuh kepelbagaian ekonomi negara menunjukkan hasil positif apabila semua sektor utama mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi suku ketiga tahun 2025 (S3 2025), kata Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan meningkat sebanyak 5.2%, sekali gus menggambarkan kekuatan sektor ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Amir Hamzah, beberapa sektor utama dijangka mencatatkan peningkatan ketara, termasuk sektor pembinaan yang dijangka berkembang 11%, penggunaan swasta lebih 5%, dan sektor perlombongan melebihi 10%.
“Ekonomi negara masih menunjukkan ketahanan yang tinggi berikutan struktur ekonomi kita yang pelbagai.
“Pasaran kita juga tidak tertumpu pada satu sektor atau negara semata-mata, tetapi lebih luas dan seimbang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Innovathon Musim Ketiga, anjuran Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini, hari ini.
Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa dasar kerajaan dalam menarik pelabur asing ke Malaysia terus menunjukkan hasil positif, apabila jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM384 bilion pada tahun lalu, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah itu sudah pun hampir RM190 bilion.
“Pelabur asing yakin dengan model ekonomi yang kita amalkan. Kita juga melihat peningkatan pelaburan dalam segmen bernilai tinggi dan pertumbuhan pesat (HGHV) yang menjadi keutamaan kerajaan,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapan pelancaran program tersebut, Amir Hamzah memaklumkan bahawa penyertaan Innovathon meningkat dua kali ganda tahun ini kepada 2,032 peserta berbanding 1,003 peserta pada 2024, menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap inovasi tempatan.
Katanya lagi, Kementerian Ekonomi turut menaikkan jumlah dana sokongan pembangunan perniagaan (Business Development Support Fund) daripada RM1 juta kepada RM1.65 juta bagi memberi galakan lebih besar kepada peserta.
“Sebanyak 56 inovator tempatan akan bersaing untuk merebut hadiah utama wang tunai RM100,000 serta Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan berjumlah RM500,000.
“Bagi musim ketiga ini, tumpuan diberikan kepada inovasi berasaskan teknologi untuk kegunaan harian seperti bidang automotif, perindustrian dan peralatan kesihatan,” katanya.
Program Innovathon itu merupakan inisiatif kerajaan untuk memupuk budaya inovasi dan memperkasa ekonomi berasaskan pengetahuan, sejajar dengan agenda Malaysia Madani dalam memperkukuh daya saing negara di peringkat global.