Realtime website trackingweb stats

Usaha gigih adik bantu kakak redah banjir naik sampan cari wifi hantar assignment undang pujian

Oleh FATIN AQILAH

Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari Tumpat, Kelantan, mempamerkan semangat luar biasa

apabila sanggup meredah banjir menaiki sampan, menunggang motosikal, dan memandu kereta demi menghantar tugasan universiti.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh pengguna bernama syahirah_mz, dia berkongsi

cabaran harian yang dihadapinya akibat kawasan rumahnya kini dilanda banjir.

“Hari ini, saya keluar mencari wifi sebab internet di rumah perlahan, nak hantar tugasan atau kerja universiti,” katanya dalam kapsyen video tersebut.

Usaha gigih adik bantu kakak redah banjir naik sampan cari wifi hantar assignment undang pujian

Usaha Gigih dan Bantuan Adik

Syahirah turut memuji adiknya yang membantu mendayung sampan untuk membawanya keluar dari kawasan rumah mereka yang terjejas teruk.

@syahirah_mz Pray for kelantan #banjir2024#banjirtumpat#fyp ♬ Камин – DR3AM7NG

“Adik saya sangat memahami. Dia usaha dayung bot walaupun tiang elektrik tumbang dan kami terpaksa guna laluan yang lebih jauh.

“Sampai tempat motosikal, inilah tempat kami semua letak kenderaan kerana kawasan ini lebih tinggi. Jalan kaki dulu ke tempat motosikal, kemudian terus ke tempat kereta,” jelasnya.

Setelah itu, Syahirah terpaksa ke Kota Bharu untuk mendapatkan sambungan internet yang stabil kerana laluan ke bandar Tumpat masih ditenggelami air dan kebanyakan kedai di kawasan tersebut tidak beroperasi.

“Nasib baik ada kafe yang buka di Kota Bharu. Selepas beberapa jam, tugasan berjaya disiapkan dan saya balik ke rumah dengan bot lagi. Terima kasih kepada adik saya. Doakan kami dan semoga air banjir cepat surut,” katanya.

Respons dan Sokongan Orang Ramai

Video tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang kagum dengan usaha gigih Syahirah dan bantuan adiknya.

“Semoga adik yang mendayung untuk bantu kakaknya hantar tugasan diberi kemudahan rezeki, kesihatan, dan kelancaran dalam segala urusan,” komen seorang pengguna bernama Lily Ruzzana.

“Tengok situasi begini buat saya sebak. Adik lelaki saya yang selalu tolong kini belajar di luar negara. Rindu sangat, tapi tak mahu cakap kat dia,” kata Wawa Maneh, berkongsi perasaannya.

Kisah ini menjadi inspirasi kepada ramai, menggambarkan semangat juang dalam menuntut ilmu meskipun berdepan cabaran besar seperti banjir.

BACA: Ini punca terjadinya monsun sampai 7 negeri di Malaysia banjir