Upacara di makam Ataturk keperluan rasmi, bukan pendirian peribadi – Anwar

Oleh ABDULLAH HAMID

ISTANBUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Republik Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk, merupakan sebahagian daripada prosedur rasmi yang wajib dilaksanakan oleh semua ketua negara yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Menurut beliau, pelaksanaan upacara berkenaan tidak berkait dengan kecenderungan peribadi atau ideologi mana-mana pemimpin, sebaliknya adalah amalan diplomatik yang telah lama ditetapkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Turkiye.

Beliau berkata, setiap pemimpin negara yang melakukan kunjungan rasmi perlu mematuhi susunan program tersebut sebagai sebahagian daripada protokol kenegaraan yang telah ditentukan.

“Ini bukan soal persetujuan peribadi, tetapi rangka lawatan rasmi yang perlu dipenuhi oleh semua ketua negara,” katanya kepada media sebelum berlepas pulang ke Malaysia selepas menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye, hari ini.

Anwar menjelaskan, amalan itu dilaksanakan tanpa mengambil kira parti politik atau kepimpinan yang mentadbir Turkiye dan telah dilalui oleh semua Perdana Menteri Malaysia yang pernah mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan.

Beliau berkata, sama ada di bawah mana-mana kerajaan, protokol tersebut kekal dilaksanakan dan pernah dipatuhi oleh pemimpin Malaysia terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa penghormatan berkenaan perlu difahami melalui lensa sejarah Turkiye, khususnya peranan Mustafa Kemal dalam mengetuai perjuangan menentang usaha kuasa Bersekutu selepas Perang Dunia Pertama yang bertujuan memecah-belahkan wilayah Empayar Uthmaniyyah.

Usaha tersebut, katanya, akhirnya membawa kepada pembebasan Turkiye dan pembentukan sebuah republik moden yang berdaulat.

Anwar mengakui beliau mempunyai pandangan peribadi yang tegas terhadap beberapa keputusan yang dibuat semasa era pemerintahan Mustafa Kemal, termasuk berkaitan hal ehwal Islam, perubahan bahasa dan tulisan, namun menegaskan perbezaan pandangan itu tidak menafikan sumbangan besar tokoh tersebut dalam sejarah negara itu.

“Pandangan peribadi saya tidak boleh memadamkan hakikat bahawa beliau merupakan tokoh penting yang berjaya membebaskan negaranya daripada percubaan penjajahan kuasa Eropah,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menasihati orang ramai agar tidak membuat penilaian secara terburu-buru atau menjatuhkan hukuman tanpa memahami konteks sejarah serta amalan diplomatik antarabangsa yang lazim diamalkan dalam hubungan antara negara.