Untunglah wajah iras Siti Nurhaliza, ibu dua anak ini sudah lali jadi perhatian di khalayak ramai. Sekali imbas, wajah Siti Sarah Fadhil persis penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Hakikatnya, Siti Sarah,31, yang juga ibu kepada dua anak tiada pertalian darah dengan Siti Nurhaliza walaupun ada segelintir individu membuat andaian begitu.
Menurut Siti Sarah, dia sudah lali dengan tanggapan itu namun tidak pernah mengiyakan atau menidakkannya kerana menganggap ia pandangan peribadi setiap individu.
Bagaimanapun, Siti Sarah mengakui persamaan itu memberi kesan kepadanya apabila ada yang menyapanya dan tersalah sangka dengannya ketika berada di khalayak ramai.
“Sejak usia 18 ke 19 tahun lagi, sudah ada yang menyamakan wajah saya dengan Datuk Siti (Nurhaliza).
“Kalau pergi berjalan, ada juga terdengar orang berbisik dan bercakap mengenainya (persamaan).
“Pernah juga orang tegur saya, kebiasaannya mak cik-mak cik apabila saya ke pusat beli belah dan tanya adakah saya ada kaitan atau hubungan dengan Datuk Siti.
“Itu perkara biasa namun setakat itu saja dan tidak sampai ajak bergambar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Siti Sarah, pandangan sama turut disuarakan segelintir pengguna di platform TikTok.
“Kalau muat naik video di TikTok dan tengok ruangan komen, memang ada ‘petik’ nama Datuk Siti tetapi ada juga samakan dengan artis lain.
“Tapi ada juga yang persoalkan mengenainya (persamaan) kerana tidak nampak persamaan itu selain kata saya gunakan ‘filter’ (aplikasi suntingan) saja.
“Apa pun kata mereka, saya tetap saja positif kerana tak pernah sekali pun dakwa wajah saya iras Datuk Siti walaupun ada timbul kerisauan juga dalam diri sebelum ini jika ada yang tak suka atau menganggap saya perasan,” katanya.
Siti Sarah berkata, dia anggap persamaan itu perkara biasa kerana sedar ramai yang mempunyai wajah seiras di dunia ini.
“Saya anggap itu semua kebetulan dan tak nampak ia sebagai keistimewaan pun.
“Sama atau tidak, saya tetap meminati Datuk Siti cuma baru sekali berpeluang melihat persembahannya di sebuah pusat beli belah.
“Itu pun tengok daripada jauh saja dan tak pernah berpeluang ambil gambar bersama,” katanya