Umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk menunaikan ibadah umrah dan melakukan ziarah ke Tanah Suci.
Lazimnya, jemaah memilih agensi pelancongan untuk menguruskan perjalanan mereka, dengan pelbagai pakej ditawarkan mengikut kemampuan dan kesesuaian.
Namun, pakej-pakej ini sering kali terikat dengan jadual yang telah ditetapkan, menyukarkan jemaah untuk membuat penyesuaian mengikut keperluan peribadi.
Kini, sebuah inovasi baharu diperkenalkan oleh Muslim Pro melalui aplikasi umrah yang memberikan lebih fleksibiliti kepada para jemaah.
Kebebasan Merancang Perjalanan Umrah
Melalui aplikasi ini, jemaah dapat membentuk sendiri pakej umrah yang memenuhi kehendak mereka, tanpa bergantung sepenuhnya kepada polisi agensi pelancongan.
“Jemaah kini tidak lagi terikat dengan perantara, sebaliknya boleh merancang perjalanan suci mereka secara langsung menerusi platform digital yang selamat dan lancar. Sama ada memilih pakej berpandu atau pendekatan do-it-yourself (DIY), aplikasi ini menawarkan kemudahan untuk mengurus perjalanan umrah mereka,” menurut Muslim Pro dalam satu kenyataan.
Aplikasi ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan akses ibadah umrah kepada umat Islam di seluruh dunia, selain menarik perhatian golongan muda yang celik teknologi.
Kerjasama dengan Umrahme dan NUSUK
Dibangunkan dengan kerjasama Umrahme dan diiktiraf oleh NUSUK, platform digital bersepadu milik kerajaan Arab Saudi, aplikasi ini menyediakan pelbagai fungsi penting.
“Menerusi telefon pintar, jemaah boleh merancang setiap aspek perjalanan mereka, termasuk memilih penginapan, lawatan ke tapak-tapak suci di Makkah dan Madinah, serta menempah visa umrah. Semua ini boleh dilakukan secara langsung tanpa perlu melibatkan kunjungan fizikal ke agensi pelancongan,” jelas Muslim Pro.
Kemudahan di Hujung Jari
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muslim Pro, Nafees Khundker, menjelaskan bahawa matlamat aplikasi ini adalah untuk memastikan perjalanan umrah setiap jemaah menjadi lancar dan bebas kerisauan.
“Kami menyediakan platform bagi berjuta-juta umat Islam merancang ibadah umrah mereka dengan selesa, menggunakan teknologi mudah alih terkini.
Fokus utama jemaah adalah pada perjalanan spiritual mereka, sementara semua aspek lain boleh diuruskan dengan mudah,” katanya.
Aplikasi Umrah kini tersedia untuk dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store, menawarkan solusi komprehensif bagi setiap jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan lebih fleksibel dan tenang.
BACA: Ini punca terjadinya monsun sampai 7 negeri di Malaysia banjir