Realtime website trackingweb stats

UMNO ada pendiriannya sendiri, tolak darurat – Zahid Hamidi

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Ahmad Zahid berkata tanpa Proklamasi Darurat pun Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menguruskan soal berkaitan COVID-19 serta isu-isu lain yang berkaitan. – Sumber: Astro AWANI/Shahir Omar.

Gambar: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah.

UMNO mengambil pendirian supaya darurat yang kini berkuat kuasa sekarang ditamatkan selepas 1 Ogos dan Parlimen dapat diteruskan seperti biasa. Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu telah disampaikan oleh beliau sendiri sewaktu diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata tanpa Proklamasi Darurat pun Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menguruskan soal berkaitan COVID-19 serta isu-isu lain yang berkaitan.

“Tentang pendirian UMNO, kami telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar pada negara, dan ternyata tanpa darurat pun dahulu Kerajaan masih boleh uruskan isu bekaitan pandemik COVID-19.

“UMNO juga membawa suara rakyat yang rata-rata resah gelisah dalam menghadapi pandemik COVID-19, sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan ekonomi mereka,” katanya kepada media di luar pekarangan Istana Negara.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba di Pintu Dua, Istana Negara kira-kira 9.55 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan meninggalkan pekarangan Istana Negara kira-kira 11 pagi.

Gambar: Yb Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata UMNO berpendapat bahawa Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan, dan wujud elemen akauntabiliti dan serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara.

“UMNO berpendapat Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan dengan kepentingan mereka seperti tuntutan moratorium, kenaikan harga barang yang mendadak, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan untuk semua yang tidak terhad kepada B40 sahaja tetapi membangkitkan, dan libatkan kumpulan M40, malah di kalangan T20 juga turut terjejas.

“Maka kita rasakan bahawa aspek ekonomi sama ada foreign direct investment (FDI) yang telah dilokasikan di negara-negara jiran tetapi yang lebih penting lagi domestic direct investment (DDI) yang harus digalakkan dengan pelbagai insentif dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau turut membangkitkan mengenai cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan dengan Agong. – Sumber Berita Harian

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]