PUTRAJAYA, 21 Julai 2025 — Dalam suasana penuh keinsafan dan doa pada program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra malam tadi, satu suara lantang dan tegas bergema dari barisan ulama, menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, tampil menyuarakan dokongan penuh terhadap kepimpinan Kerajaan MADANI yang diterajui Anwar, malah mengajak seluruh rakyat untuk mempertahankan kestabilan yang sedang dinikmati kini.
“Kita ulama berdiri teguh di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Insya-Allah, kami akan bersama beliau menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Dengan izin Allah, Malaysia akan terus selamat, kerajaan ini akan terus diselamatkan,” ujar beliau di hadapan ribuan jemaah yang hadir.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu bukan sahaja menjadi medan bermunajat, malah mengangkat kembali peranan ilmu dan nilai agama sebagai asas penyatuan ummah dalam era Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, Syeikh Wazir turut menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Menurut beliau, perubahan kerajaan yang terlalu kerap dalam tempoh singkat hanya akan memberi kesan negatif terhadap dasar, pendidikan, dan ekonomi negara.
“Lima tahun satu kerajaan, dua tahun satu kerajaan, bahkan ada yang setahun sudah bertukar… Akibatnya pondok malap, ekonomi malap, segala-galanya suram. Ini bukan cara Islam. Pentadbiran yang baik wajar dikekalkan sekurang-kurangnya sepuluh tahun supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai rakyat,” tegasnya.
Sokongan ulama seperti ini dilihat sebagai satu dorongan moral besar buat kepimpinan negara, apatah lagi dalam usaha kerajaan membina semula asas ekonomi dan memperkukuh institusi negara pasca pandemik dan ketidakstabilan politik.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru umat Islam agar terus mempertahankan tradisi keilmuan dan memperkukuh hubungan antara ulama dan umara dalam menghadapi cabaran era moden, termasuk ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi global.
“Teknologi yang hebat pun tidak akan membawa manfaat sekiranya tidak disandarkan kepada akhlak, nilai, dan kefahaman agama yang utuh. Itulah kekuatan umat Islam sejak dahulu lagi,” kata Anwar.
Suasana malam itu tidak sekadar menyatukan ribuan jemaah dalam doa dan munajat, tetapi turut menyaksikan kesepakatan antara ahli agama dan kepimpinan negara bahawa hala tuju negara ini harus terus dipandu oleh ilmu, nilai, dan kestabilan.